KLUANG – Pengumuman beberapa projek pembangunan infrastruktur oleh kerajaan negeri di daerah ini sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat disifatkan sebagai hadiah istimewa oleh masyarakat setempat.
Seorang kerani, Gan Lee Chiu, 44, berkata menjadi harapan buat masyarakat Cina setempat untuk melihat penambahbaikan jalan, parit serta pembinaan gelanggang bola keranjang di Kampung Paya di sini.
“Kita kaum Cina jati Kluang telah lama menginginkan perubahan dan pembangunan. Masyarakat Cina aktif bermain bola keranjang, jadi bila diumumkan pembinaan gelanggang ini, kami terlalu gembira kerana aktiviti ini boleh diteruskan dengan kemudahan yang lebih sempurna,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat di Batu 3, Jalan Mersing dekat sini hari ini.
Seorang suri rumah, R. Thamaganthi, 46, pula menyifatkan pembinaan dewan bagi masyarakat India adalah sangat tepat dan selari dengan matlamat kerajaan negeri yang ingin membawa kesejahteraan kepada masyarakat.
“Kita sudah lama menginginkan tempat yang boleh menyatupadukan masyarakat India di kawasan seperti ini, dengan fasiliti sesuai untuk sebarang aktiviti dan ini membuktikan Kluang bawah BN berjaya membawa kesejahteraan semua tidak kira agama dan bangsa,” katanya.
Penerima Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Yati Zakaria, 30, pula sangat bersyukur atas tawaran itu dan menyifatkan ia sebagai langkah permulaan untuknya memiliki rumah sendiri.
“Dengan pengumuman pembinaan dan penambahan sekolah agama kerajaan Johor ini, kita amat teruja. Kita sudah boleh bayangkan kesannya kepada penduduk setempat di sini yang sudah tentu membawa pembangunan yang lebih kepada kawasan ini,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor Fasa 5, menyampaikan tawaran RMMJ Daerah Kluang serta melancarkan Taman Tamadun Islam, Pelan Pembangunan Kampung Paya dan Dewan Masyarakat India. – BERNAMA