SEREMBAN – Negeri Sembilan dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records sebagai negeri terbanyak melepaskan benih udang galah di Malaysia dengan pelepasan sebanyak 1,139, 472 ekor benih udang galah di Sungai Timun, Linggi, tahun lepas.
Menurut laporan portal Kerajaan Negeri Sembilan, pelepasan itu bertujuan untuk memulihara dan meningkatkan lagi populasi udang galah selaras dengan hasrat kerajaan mahu menjadi negeri pengeluar udang galah kedua terbesar di Malaysia.
“Kuala Pilah merupakan daerah pengeluar terbesar udang galah di Negeri Sembilan. Pengeluaran udang galah pada 2015 adalah berjumlah 85.92 tan metrik dengan nilai RM70 hingga RM80 bagi satu kilogram,” kata laporan itu.
Selain udang galah, turut diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri adalah pengeluaran benih ikan asli di negeri ini, merangkumi spesies ikan lampam sungai, baung, puyu, kelah, temoleh, kerai, jelawat, loma, patin, terbol, sebarau, dan siakap.
Sebanyak 136 program pelepasan benih ikan asli sebanyak lima juta ekor secara besar-besaran di sungai dan empangan di seluruh daerah di negeri ini telah dilaksanakan bagi tempoh 2007 hingga 2017 dengan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM1.2 juta.
Negeri Sembilan, menurut portal itu, turut merekodkan kejayaan penetasan telur penyu menggunakan tangki konkrit berisi pasir sungai yang terulung di negara ini.
“Telur penyu biasanya ditetaskan di dalam pasir tepian pantai atau menggunakan pasir laut jika ingin ditetaskan di dalam tangki konkrit. Percubaan pertama menggunakan pasir sungai di Pusat Ikan Hiasan (PIH) Port Dickson membuktikan ia juga berjaya menetaskan telur penyu.
“Jumlah penetasan telur penyu yang diperoleh dari pantai Port Dickson sejak dimulakan pada 2017 ialah 382 ekor (penyu karah dan penyu agar), dan dilepaskan semula ke perairan laut Negeri Sembilan,” kata laporan itu.
Laporan itu juga menyebut PIH, yang merupakan pusat rujukan teknologi ternakan ikan hiasan marin pertama di Malaysia merekodkan peningkatan kunjungan pelancong daripada 22,854 orang pada 2016 kepada 85,000 orang pada 2017.
Selain itu, PIH yang diwujudkan pada tahun 2011 dengan fungsi utama pusat itu adalah untuk menjadi sebagai pusat rujukan dalam industri melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah berjaya melahirkan empat buah syarikat swasta dalam industri propagasi karang, yang dilihat sebagai suatu sumber kekayaan baharu untuk eksport.
Laporan itu juga menyebut bahawa Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai terumbu karang pesisir pantai tanah besar.
“Biasanya kita terpaksa pergi ke pulau-pulau untuk melihat terumbu karang, tetapi di Port Dickson, terumbu karang yang subur hanya berada di tepian daratan tanah besar sahaja. Warga kota boleh menyaksikan terumbu karang semula jadi hanya di Port Dickson yang begitu hampir dengan Kuala Lumpur.
“Majlis Perbandaran Port Dickson dan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan turut giat mempromosikan terumbu karang ini sebagai satu tarikan pelancong ke pantai Port Dickson,” kata laporan itu.
Terumbu karang pesisir pantai pertama yang diwartakan di Malaysia sebagai kawasan larangan perikanan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 di bawah Akta Perikanan 1985 ialah di Tanjung Biru dan Tanjung Tuan, Port Dickson. – BERNAMA