BRISBANE – Meskipun gagal meraih pingat pada aksi sulungnya hari ini, pelumba berbasikal trek para negara Muhammad Afiq Afify Rizan tetap berpuas hati selepas berjaya memperbaharui rekod Asia miliknya di Sukan Komanwel 2018 di sini.
Muhammad Afiq Afify bersama jurupandunya Muhammad Khairul Nizam Rasol merekod masa 1 minit 03.249 saat untuk menduduki tempat keempat pada aksi final acara tandem (B) 1km ujian masa yang berlangsung di Anna Meares Velodrome.
Catatan masa itu memadam rekod yang dilakukannya di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2018 di Rio de Janeiro, Brazil, bulan depan, dengan 1:04.192s.
“Saya memang sasarkan pecah rekod sendiri, rekod peribadi dan perbaharui rekod Asia untuk layak ke Sukan Asia pada Oktober nanti. Mungkin saya akan kekalkan rekod ini dan tampilkan aksi lebih baik di sana,” katanya.
Muhammad Afiq Afify dan jurupandunya Muhammad Khairul Nizam akan kembali beraksi dalam acara pecut, Sabtu ini. – BERNAMA