TELUK INTAN – Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat empat pusingan-U dalam kenyataannya dan menyalahkan ekonomi negara apabila terpaksa menutup kedai roti miliknya.
Perdana Menteri berkata, perbuatan bekas pemimpin negara itu disifatkan melalut kerana menukar empat kali kenyataan berhubung penutupan The Loaf dalam masa dua minggu bagi menyalahkan kerajaan.
“(Dia) bukan nak dengar cakap orang dah, melalut cakapnya, hari ini cakap lain esok cakap lain macam kedai roti dalam dua minggu empat kali tukar (kenyataan), mula-mula kata kedai dia, lepas itu kata bukan kedai dia, lepas itu kata nak jual kedai dia, akhir kata baru mengaku kedai dia.
“Sebab apa dalam daftar syarikat dia ada 10 juta saham (dalam kedai roti) dan pegang 51 peratus ekuiti. Janganlah kita main politik yang begini, jangan kita tuduh orang tidak berasas, berdosa nanti. Tak apa, itu dia dengan Allah nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di sini yang mengandungi 957 unit kediaman di Batu 4, Jalan Changkat Jong di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong yang juga anggota Parlimen Teluk Intan dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.
Walaupun Najib tidak menyebut nama pemimpin dimaksudkan, ia jelas merujuk kepada kenyataan Mahathir berikutan isu penutupan 12 cawangan kedai roti The Loaf di negara ini pada minggu lalu.
“Ada orang itu buka kedai roti, 12 tahun, 12 cawangan (dan) kata ekonomi negara ini tak baik diuruskan oleh kerajaan, (Tapi), kedai roti lain tidak tutup, kedai roti lain maju, kedai RotiBoy maju, kedai roti Gardenia maju.
“Saya percaya yang jual mi rebus Mastan Ghani Teluk Intan, perniagaannya juga maju. Kalau tutup kedai, orang tak pergi ke kedai, kerajaan pun dipersalahkan kah?
“Mungkin kedai itu tidak sesuai tempatnya, mungkin rotinya tidak sedap, mungkin kos terlalu tinggi ke? Mungkin ada sebab lain. Yang anehnya, ekonomi negara kita ini memang berkembang dengan begitu positif sekali,” katanya.
Jelas beliau, kejayaan Malaysia memperoleh penilaian semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak tiga kali sepanjang tahun lepas daripada Bank Dunia mencerminkan ekonomi negara berada pada landasan baik dan semakin pesat.
“Tak ada mana negara di dunia, Bank Dunia membuat ulang kaji (sehingga) tiga kali melainkan negara Malaysia, akhirnya mereka meramalkan negara kita berkembang sehingga 5.8 peratus, tapi bila kita tutup kira-kira kita melebihi kepada 5.9 peratus.
“Suku tahun ini baru empat bulan, Bank Dunia pula kata, ramalan tahun ini daripada 5.2 peratus mereka naikkan kepada 5.4 peratus,” kata perdana menteri.
Jelas Najib, semalam Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), sebuah badan pemikir berpusat di Kuala Lumpur, membuat ramalan bahawa unjuran pertumbuhan KDNK negara akan meningkat daripada 5.4 peratus kepada 5.5 peratus.
“Kalau ekonomi kita tidak baik, bagaimana cawangan UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) cawangan Teluk Intan akan menjadi kenyataan, macam mana rumah PR1MA ini akan buat hampir 1,000 unit di sini. Dan kalau ekonomi kita tidak baik, mana mungkin saya mempertimbangkan permohonan projek-projek tambahan di Teluk Intan ini,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri juga menyifatkan Pakatan Pembangkang tidak malu kerana selama ini mengutuk program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan telah bertindak meniru bantuan berkenaan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mereka bagi menarik sokongan pengundi.
Menurutnya tindakan pembangkang tersebut ibarat melakukan pusingan U di mana dahulunya mencaci kerajaan kononnya memberi rakyat dedak dan memberi rasuah.
Jelas Najib, disebabkan ekonomi negara bertambah baik, maka kerajaan mampu mengumumkan menambah jumlah BR1M daripada RM400 kepada RM800 yang akan diberikan nanti serta boleh mempertimbangkan permohonan projek-projek tambahan .
“Dia punya corner U-Turn (pusingan U) ini corner baring, lebih teruk daripada corner baring (iaitu) ‘corner U-turn’, kata BR1M ini tidak baik, BR1M ini dedak, BR1M ini rasuah, berbulan-bulan kata begitu, alih-alih dalam manifesto (pembangkang) ada pula BR1M.
“Selama ini dok (asyik) kutuk program BR1M, tiba-tiba… tak malu, muka tebal masuk (BR1M) dalam manifesto mereka, kerana orang tahu BR1M lah bantu keluarga,” katanya.- BERNAMA