KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,093 tajaan syarikat swasta dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) direkodkan sepanjang tahun lepas dalam membantu Kementerian Pendidikan meningkatkan tahap pendidikan di sekolah seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata ia merupakan peningkatan menggalakkan berbanding 1,403 tajaan pada tahun sebelumnya.
“Antara bantuan yang kita terima daripada syarikat swasta yang melaksanakan CSR ini adalah dari segi kewangan, material, fizikal, infrastruktur, kepakaran dan khidmat sosial selain hartanah, makan minum, bantuan asas persekolahan dan sebagainya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang ingin tahu jumlah penglibatan syarikat swasta yang tampil membantu Kementerian Pendidikan melalui CSR bagi meningkatkan tahap pendidikan negara pada sesi pertanyaan jawab lisan.
Kamalanathan berkata kementerian sentiasa mengambil pendekatan terbuka dan menggalakkan penglibatan semua pihak dalam membantu meningkatkan tahap pendidikan negara selaras anjakan kesembilan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..

