HARI istimewa buat kedua pasangan mempelai iaitu penyanyi, Shila Amzah dan pasangannya, Haris Idraki Elias apabila majlis resepsi perkahwinan mereka berlangsung dengan meriah di Marriot Hotel, Putrajaya.
Majlis tersebut dihadiri lebih 800 tetamu yang yang terdiri daripada pihak keluarga, peminat, dan rakan-rakan daripada kedua belah pihak pengantin lelaki dan perempuan.

Lebih menarik, peminat Shila dari China dan juga serata dunia juga dijemput hadir bagi memeriahkan lagi malam istimewa yang pasti tidak akan dilupakan Shila dan Haris.
Memukau hadirin, Shila tampil elegan dan berani dengan mengenakan gaun berwarna hitam yang sememangnya berbeza daripada pakaian perkahwinan serba putih yang menjadi kebiasaan buat pengantin perempuan.

Haris juga segak sebagai raja sehari apabila memakai tuksedo berwarna hitam menjadikan pasangan tersebut sedondon di hari istimewa mereka.
Tema dan dekorasi majlis resepsi itu diinspirasikan daripada rekaan ‘Old Shanghai’ dari era 1960-an yang dihiasi dengan hiasan tradisi artistik Cina menjadikan majlis itu kelihatan menarik dan tidak keterlaluan.

Majlis resepsi itu turut dimeriahkan dengan persembahan kejutan kepada kedua mempelai oleh kumpulan terkenal, Ruffedge yang nyata membuatkan Shila gembira dan terharu.

Ruffedge menyampaikan lagu klasik mereka iaitu Bila Rindu yang menggamatkan dewan dan ianya dilakukan sebagai kejutan kepada Shila yang merupakan peminat kumpulan itu ketika membesar.
Bukan itu sahaja, hadirin turut dikejutkan dengan persembahan istimewa daripada pengantin perempuan sendiri apabila Shila tampil menyanyikan lagu popular dendangan Ed Sheeran, Perfect yang disaksikan suami tercinta.

Kemuncak malam tersebut tiba apabila Shila menyampaikan lagu terbaharunya dalam bahasa Mandarin berjudul If We Are Getting Old yang digubah khas buat suaminya itu sebagai lambang penyatuan cinta mereka.
Seperti yang diketahui, kedua pasangan yang baharu sahaja bergelar suami isteri itu mempunyai dua karier berbeza yang memerlukan mereka berjauhan di mana Shila lebih banyak meluangkan masa di Hong Kong dan China manakala Haris bekerja dalam sektor kewangan di London, United Kingdom.

Perkara itu menyebabkan beberapa pihak tertanya-tanya sama ada Shila akan memperlahankan karier muziknya untuk berada lebih dekat dengan Haris.
Mengulas mengenai perkara itu, Shila menjelaskan bahawa dia akan meneruskan karier nyanyiannya seperti biasa dan mereka berdua akan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya masing-masing walau di mana mereka berada.

“Dari segi karier, ianya akan berjalan seperti biasa, tiada apa-apa yang berubah setakat ini.
“Sebab saya dan Haris, kita banyak berbincang pasal karier dan saya akan sokong apa juga yang Haris buat, yang dia suka dan Haris juga akan menyokong apa juga yang saya suka.
“Jadi perkara itu tidak menjadi satu masalah dan Alhamdulillah suami saya sangat supportive,“ ujar Shila ketika ditemui pemberita sejurus usainya majlis resepsi mereka.
Tetamu kehormat pada majlis resepsi itu merupakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara rakan-rakan artis yang hadir adalah Zara Zya, Scha Alyahya, Jihan Muse, Awal Ashaari, Fara Fauzana, Datuk Aznil Hj. Nawawi, Alif Satar dan ramai lagi.
Shila dan Haris melangsungkan pernikahan mereka pada 17 April lalu di rumah kediaman keluarga penyanyi tersebut di Cheras, Kuala Lumpur. – MYNEWSHUB.CC/EZ