PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan makin menunjukkan sikap bertentangan dengan Amerika Syarikat, sekutunya dan rakan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan semakin rapat dengan Rusia dan Iran.
Semalam, di Ankara, Erdogan bertemu sekali lagi dengan Presiden Vladimir Putin dan Presiden Hassan Rouhani, meneruskan rundingan yang dikenali sebagai “Proses Astana” untuk menyelesaikan masalah Syria.
Pada masa Rusia menghadapi tekanan Britain, AS dan sekutu ekoran kes serangan racun ke atas bekas perisik Rusia di Britain, Ankara dan Tehran juga mempunyai kepentingan masing-masing yang mendesak tiga kuasa ini bekerjasama.
Ketiga-tiga negara mempunyai kepentingan di Syria. Mereka mahu Syria terus stabil dan bersama mengusahakan proses perdamaian dan pemulihan negara dilanda perang itu.
Ankara, Moscow dan Tehran berazam meneruskan proses damai terutama gencatan senjata di Syria agar proses seterusnya dapat dijalankan.
Rusia mahu mengekalkan Bashar al-Assad kerana pemerintahan beliau ialah sekutu Arab utama Moscow yang telah menjalin kerjasama sejak zaman Perang Dingin.
Rusia mahu memelihara pelabuhan dan pangkalan tenteranya di Tartus dan mahu kerajaan di Syria kekal sebagai kerajaan yang mempunyai hubungan baik dengan Moscow.
Selepas rejim Assad menang dalam perang di Syria, Presiden Putin mahu kerjasama memerangi kumpulan teroris di Syria dan bantuan kemanusian ditingkatkan, sambil menggesa bantuan kemanusian tidak dipolitikkan.
Erdogan pada masa ini ialah pemimpin yang paling bimbang dengan perkembangan di Syria, yang menyaksikan kemunculan dan pengukuhan kumpulan bersenjata Kurdi yang disokong AS.
Pemimpin Turki ini telah mengarahkan tentera negaranya memulakan operasi memerangi militan Kurdi dalam wilayah Syria di Afrin, dan telah memberi amaran akan memasuki bandar berdekatan, Manbij yang menempatkan tentera AS.
Turki berang dengan sikap AS yang didakwa menyokong Kurdi, walaupun Kurdi sendiri mendakwa dikhianati oleh AS.
Ankara juga kesal dengan tindakan AS menubuhkan beberapa pangkalan rahsia di wilayah utara Syria yang dibimbangi mengancam keselamatan Turki.
Tahun lepas, perang mulut berlaku antara Ankara dan Washington ekoran tindakan media Turki mendedahkan lokasi pangkalan rahsia AS di Syria itu.
Turki kini mensasarkan Manbij, untuk menhapuskan penguasaan Kurdi di sepanjang sempadan dengan Turki dan menghalang Kurdi daripada menguasai satu wilayah yang bersambung hingga ke Laut Mediterranean.
Erdogan juga dalam kenyataan menyusuli mesyuarat tiga negara di Ankara itu menggesa bantuan kepada Syria disegerakan.
Presiden Iran, Rouhani pula melahirkan kemarahan terhadap tindakan AS yang didakwa menggunakan kumpulan teroris seperti ISIS dan Nusra sebagai alat geopolitiknya di rantau Arab.
Syria telah terjejas peranannya sebagai sekutu penting Iran untuk membantu proksinya di Palestin dan Lubnan dalam menghadapi Israel.
Kini Iran mahu mengekalkan pemerintah sedia ada di Syria dan mahu proses damai diteruskan di Syria.
Iran masih bimbang dengan usaha untuk memecahkan Syria melalui sokongan kepada kumpulan-kumpulan seperti militan Kurdi, teroris Barisan Nusra dan ISIS.
Kemaraan Kurdi ialah satu faktor yang mendorong kerjasama lebih rapat antara Iran dengan Turki, yang Syria ialah satu titik pentingnya selain utara Iraq.
Selepas perang tujuh tahun di Syria mula menampakkan tanda-tanda akan berakhir, Turki, Rusia, dan Iran kini berada di kedudukan paling kuat untuk membantu dalam mencapai penyelesaian di Syria.
Perkembangan terkini daripada kes keracunan perisik di Britain hingga kepada isu berkaitan kebangkitan Kurdi di Syria dan Iraq mendesak ketiga-tiga Turki, Rusia dan Iran bekerjasama walaupun masing-masing mempunyai kepentingan yang tidak selari dengan satu sama lain. – Mynewshub.cc/H