PERKEMBANGAN terkini isu kemelut rumah tangga yang dilalui oleh penyanyi terkemuka negara, Ziana Zain dilihat masih tidak diketahui pangkal hujungnya.
Penyanyi bersuara lantang itu juga selama ini mengambil langkah mengunci mulut daripada mendedahkan situasi terkini rumah tangganya bersama suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri.
Meskipun maklum akan situasi sebenar yang terjadi dalamisu rumah tangga kakaknya, penyanyi bersuara emas, Anuar Zain mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan bagi mengelak salah tanggapan.

Jelas Anuar, ia sama sekali bukan haknya untuk memberikan pendapat ataupun bersuara mengenai kemelut yang berlaku di antara Ziana dan abang iparnya itu.
Bagaimanapun, Anuar berkata bahawa dia bersama keluarganya akan menyokong penuh apa sahaja keputusan yang bakal diambil oleh kakaknya namun dalam masa sama menghormati Armin.
“Sebenarnya, saya tidak boleh komen apa-apa kerana perkara ini sudah menjadi kes mahkamah. Saya takut prejudis.
“Tetapi, sebagai adik saya sentiasa menyokong kakak saya dan apa juga keputusan dia. Keluarga tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Saya dan keluarga menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat Ziana, tetapi saya tetap hormat Armin sebagai abang ipar walau apa sekalipun yang berlaku selepas ini,” katanya memetik laporan BH Online.

Anuar berkata demikian ketika ditemui pihak media usai konsert Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur, malam tadi.
Mengulas mengenai isu yang melanda kakaknya itu, Anuar berkata dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak bagi mencari salah siapa dalam hal tersebut.
Sebaliknya, dia yang merupakan insan terdekat dalam hidup Ziana, mahu sentiasa memberikan sokongan utuh dari segi mental dan fizikal kepada kakaknya bagi menempuhi ujian tersebut.

Tambah Anuar, dia juga tidak mahu orang ramai terutamanya mereka yang menggunakan media sosial membuat sebarang andaian serta memberi komen negatif mengenai isu berkenaan.
Malah, Anuar menegaskan bahawa semua pihak perlu memberi ruang yang cukup kepada Ziana untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya sendiri.
“Orang luar tidak tahu apa yang berlaku. Jadi, saya minta netizen di luar sana tidak komen apa-apa, takut nanti suatu hari perkara itu berbalik kepada diri.
“Jangan sesekali pandai-pandai komen sebab takut nanti terkena batang hidung sendiri.
“Doakan yang baik-baik untuk mereka berdua kerana apapun kesudahannya, kami sekeluarga terima. Alhamdulillah, kakak saya gembira sekarang dan keluarga sangat menyokong dia,” ujarnya.

Isu berkaitan rumah tangga penyanyi lagu Putus Terpaksa itu mula mendapat perhatian ramai apabila suaminya, Armin didakwa awal Mac lalu selepas dituduh mencederakan anak lelaki mereka pada 25 Februari yang lalu.
Pasangan yang berkahwin pada tahun 1998 itu dikhabarkan sudah tidak lagi menetap di bawah satu bumbung, malah penyanyi itu juga dilaporkan telah memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam, awal April lalu. – MYNEWSHUB.CC/EZ
