PENGARAH dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri melakar sejarah apabila menjadi penggiat seni pertama dianugerahkan pangkat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Difahamkan penganugerahan pangkat Penguasa Kanan Bomba 1 (Kehormat) itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM iaitu Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim di Putrajaya pada Rabu lalu.
Majlis bersejarah itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek.
Memetik mStar Online, Idham berkata, penganugerahan itu tidak pernah berlaku dalam industri hiburan tanah air.
“Saya merupakan yang pertama, ini menunjukkan mereka nampak sumbangan anak seni kepada JBPM.
“Namun, saya agak malu sebab filem Qhaliq yang mengangkat kisah kerjaya bomba tidak mendapat perhatian daripada jawatankuasa Sistem Wajib Tayang (SWT),” kata Idham.

Dalam pada itu, Idham turut memaklumkan bakal mengumumkan tarikh terbaharu filem tersebut selepas dia mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Finas iaitu Datuk Fauzi Ayub dalam masa terdekat.
“Ramai yang tak sedar mengenai usaha saya untuk menaikkan agensi kerajaan terutamanya JPBM menerusi filem ini.
“Saya sebenarnya membawa amanat Datuk Seri Mohammad Mantek yang mahu filem ini ditayangkan kepada penonton tempatan,” tambah penerbit Aifa Motion Pictures Sdn. Bhd. itu lagi.
Untuk rekod, sebelum ini beliau turut pernah menerima pangkat Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) sekitar Mac tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC/AM