PENGACARA hebat Datuk Aznil Nawawi dikenali ramai disebabkan sikap baik hatinya yang sering membantu anak muda bagi mencapai impian mereka dalam dunia seni.

Terbaharu, Aznil atau lebih mesra disapa dengan panggilan Pak Nil memperkenalkan Yayasan Pesona bertujuan untuk bantu, melatih dan membimbing generasi muda kini yang memiliki personaliti diri hebat bertaraf dunia.
“Idea menubuhkan yayasan ini tercetus selepas melihat generasi muda yang agak lemah dan gagal berinteraksi dengan baik ketika berdepan dengan khalayak.
“Cara komunikasi mereka juga kurang meyakinkan, selain kebanyakan hanya berani bidas di alam maya dan bukan secara berdepan. Secara tidak langsung, usaha ini juga dapat bendung kelompok wira papan kekunci,” katanya dipetik portal BH Online.
https://www.instagram.com/p/BhqNxLPnu-p/?taken-by=aznilnawawihm
Tujuan utama yayasan berkenaan diwujudkan beliau ialah supaya generasi masa kini akan lebih yakin dalam melakukan sesuatu perkara.
Malah, Pak Nil turut merasakan jika dia tidak mengatasi perkara negatif di dalam diri generasi muda, tidak mustahil jika pada masa akan datang, negara ini bakal diwarisi oleh generasi yang bersikap kasar dalam pertuturan.

Bukan itu sahaja, kemungkinan mereka juga tidak mampu untuk berdebat tentang sesuatu perkara dengan lebih beretika dan ia semestinya membimbangkan pengacara berusia 56 tahun itu.
Dalam masa sama, Yayasan Pesona langsung tidak berada di bawah naungan mana-mana badan tertentu dan disebabkan itu, beliau sangat berharap agar usahanya akan berjaya.
Ini termasuk dalam membantu untuk melahirkan pelapis bijak bersuara, berdebat dan mampu untuk mengupas sesuatu isu dengan minda yang kritis. Bagaimanapun, setiap rancangan pasti perlukan tindakan…
Jadi, Pak Nil bakal turun padang ke mana-mana sekolah rendah, menengah mahupun universiti untuk mengadakan aktiviti bagi berkongsi cara serta beberapa teknik komunikasi yang berkesan.

“Setiap aktiviti akan dijalan secara santai dengan menghidupkan semula perbincangan matang secara empat mata. Dengan cara ini, kita dapat menyuburkan semula komunikasi dua hala tanpa perlu berselindung di sebalik papan kekunci,” tambahnya.
Sebelum ini, bekas pengacara Akademi Fantasia itu juga pernah mewujudkan satu rancangan dipanggil On Air Talents di bawah naungannya sendiri bertujuan untuk membentuk perwatakan individu yang memiliki bakat dalam dunia pengacaraan.
Antara personaliti televisyen yang telah berjaya hasil didikannya ialah Yaya Zahir, Hana Ismail, Wasiril Aswad, Akmal Nazri dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH

