KABUL – Dua belas orang, termasuk gabenor daerah Khawja Omari di wilayah Ghazn, terbunuh apabila militan Taliban menyerang ibu pejabat daerah itu pada awal Khamis, lapor agensi berita China Xinhua.
Pegawai tempatan, Ramazan Ali Mohsini, berkata militan Taliban telah menyerang pusat pemeriksaan keselamatan di daerah Khawja Omari pada pukul 3 pagi, mencetuskan pertempuran sengit yang telah meragut nyawa gabenor itu serta 11 kakitangan beliau dan anggota keselamatan.
Sejumlah 40 anggota militan Taliban terbunuh serta cedera dalam pertempuran itu yang berlaku di timur Afghanistan.
Sementara itu, militan Taliban mendakwa mereka telah berjaya menawan ibu pejabat daerah Khawja Omari.
Bagaimanapun, Ketua Polis Wilayah Mohammad Zaman menolak dakwaan itu dan berkata serangan Taliban telah berjaya dipatahkan.
— BERNAMA

