KUALA LUMPUR – Filipina menyasar untuk mengimbangi perdagangan dua hala dengan Malaysia tahun ini, kata Penolong Setiausaha Philippines Trade and Investments Promotion Group, Abdulgani M. Macatoman.
Imbangan perdagangan ketika ini memihak kepada Malaysia.
Macatoman berkata walaupun jurang perdagangan dengan Malaysia tidak ketara, Filipina akan cuba membaiki kekurangan menerusi usaha yang termasuk mengeksport lebih banyak produk dan perkhidmatan halal.
“Kami melihat potensi pertumbuhan dalam eksport, memandangkan perjanjian dua hala dengan badan pensijilan yang mengiktiraf produk dan perkhidmatan halal kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama di luar acara Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-15 (MIHAS) 2018, di sini, hari ini.
Beliau berkata walaupun Filipina bukan sebuah negara Islam, kerajaan sangat memberi sokongan dari segi mempromosi dan membangunkan industri halal dengan penubuhan Lembaga Halal Filipina.
Lembaga itu ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan dan Penggalakan Eksport Halal Filipina 2016, dengan sasaran untuk merangka, mengurus dan melaksanakan program-program yang relevan dengan pembuatan, pengeluaran, pengedaran dan pensijilan makanan serta barangan diperakui halal, antara lainnya.
Pada 2017, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Filipina meningkat sebanyak 26.1 peratus kepada RM25.51 bilion daripada RM20.23 bilion yang dicatatkan pada 2016. Eksport berkembang sebanyak 21.2 peratus tahun ke tahun kepada RM16.53 bilion, manakala import meningkat sebanyak 36.1 peratus tahun ke tahun kepada RM8.98 bilion.
Barangan eksport utama ke Filipina termasuk produk elektrik dan elektronik, produk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit, serta kimia dan produk kimia.
Filipina merupakan antara 34 negara yang menyertai MIHAS 2018, yang bermula hari ini dan berakhir pada Sabtu.
Pameran perdagangan tahunan itu memberi sumbangan ketara kepada industri halal global dengan menjadi platform terbaik bagi pemain industri halal global untuk bertemu, berangkaian dan berdagang dengan pemegang kepentingan industri halal. – BERNAMA