MESKIPUN setiap lagu nyanyiannya pasti menerima kutukan dan kritikan, namun Nur Fazura tidak cepat melatah dan memandang semua itu dari sudut positif.
Terbaharu, Fazura sekali lagi ‘dihentam’ gara-gara duetnya bersama-sama penyanyi handalan Indonesia, Anggun, berjudul ‘The Good Is Back’ yang dikatakan tidak berapa sedap didengar!
“Saya terima semua kritikan itu dengan hati yang terbuka. Biasalah, kita perlu berdepan dengan semua cabaran seperti itu untuk berjaya. Diakui, lagu itu paling sukar untuk saya nyanyikan, ditambah dengan vokal Anggun yang sangat hebat,” kata Fazura mengulas tentang komen nista netizen itu.
Malah, ada juga peminat daripada Indonesia dan Malaysia yang turut membandingkan mutu vokal Fazura dengan seorang lagi penyanyi terkenal seberang iaitu Rossa yang dianggap jauh lebih bagus daripada pelakon filem Kami Histeria itu.
“Apabila dia memilih saya untuk menjadi rakan duet, saya sahut cabaran itu dengan memberikan yang terbaik mengikut kemampuan diri. Saya tak kisah pun jika ada yang membandingkan nyanyian kami, setiap penyanyi mempunyai cara nyanyian berbeza,” jelasnya kepada Berita Harian Online.
Bagaimanapun, klip video lagu itu telah menerima sebanyak 146,000 tontonan setakat ini — satu angka yang cukup membanggakan.
Apa-apa pun, sabar jelah ya Fazura. ‘Tegar’ sungguh kerana setelah banyak kali suaranya dikutuk, Fazura masih gigih mahu jadi penyanyi! – MYNEWSHUB.CC