Saturday, July 13, 2024

Creating liberating content

Hampir Buta Kerana Tonton...

GARA-GARA menonton drama Korea terlalu lama, seorang gadis berusia 20 tahun di China...

AS Tuduh Hamas Cari...

WASHINGTON - Gerakan Hamas dituduh menggunakan majlis pembukaan kontroversi kedutaan Amerika Syarikat (AS)...

Gerakan Terima Azmin Dengan...

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menerima Datuk Seri Mohamed Azmin...

Anggota Bukit Aman Maut...

CHANGLUN - Seorang anggota polis berpangkat Sub Inspektor, maut ditembak di sebuah rumah...

Diari Delhi: Masih Sokong Penjenayah Rogol, Bunuh

NEW DELHI – Apabila kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dicolek, diberi dadah, dibiar kebuluran, dirogol beramai-ramai dan kemudiannya dibunuh, sudah pasti semua pihak akan menganggapnya satu jenayah yang mengerikan.

Rata-rata masyarakat di India berang dengan kekejaman yang berlaku di Kathua (utara Jammu dan Kashmir) pada Januari lepas.

Cumanya ledakan kemarahan itu agak lewat kerana kes pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan bernama Asifa Bano itu hanya diketahui beberapa hari lepas.

Bagaimanapun, jangan hairan kerana ada yang masih menyokong tindakan penjenayah itu dan mengatur perhimpunan untuk menunjukkan sokongan mereka kepada mereka yang dituduh bertanggungjawab melakukan jenayah jijik itu.

Anggota satu pertubuhan dikenali sebagai “Hindu Ekta Manch” (Barisan Perpaduan Hindu) melancarkan perarakan sebagai tanda sokongan kepada yang dituduh. Lapan lelaki dihadapkan ke muka pengadilan untuk kes berkenaan termasuk Sanji Ram, penjaga kuil Devisthan, tempat kanak-kanak perempuan itu ditahan.

Beberapa peguam dilaporkan secara fizikalnya menyekat polis daripada mengemukakan tuduhan rasmi terhadap kelapan-lapan lelaki itu pada 9 April lepas, sementara Deepika Singh Rajawat yang mengambil kes kanak-kanak malang itu pula diugut.

Menurut Rajawat, keluarga Asifa bertemu dengan beliau pada Februari lepas untuk meminta beliau membela kes anak perempuan mereka.

Asifa dilaporkan hilang pada 10 Jan dan diperlakukan dengan kejam selama empat hari sebelum dicekik dan kepalanya dihentak berkali-kali sehingga maut. Mayatnya ditemui di dalam hutan pada 17 Jan.

Rajawat berkata pihak polis tidak banyak membantu untuk menyiasat kes pembunuhan Asifa dan keadaan itu membuatkan beliau mengambil keputusan untuk mengambil kes itu bagi mempertahankan hak keluarga mangsa.

Sekumpulan peguam dari Persatuan Peguam Mahkamah Tinggi Jammu memberi amaran supaya tidak mengambil kes berkenaan. Beliau diberitahu: “Kami tahu macam mana mahu menyekat kamu.

Menurut polis, Ram, pesara pegawai kerajaan merancang konspirasi untuk mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat nomad beragama Islam, Bakerwal, serta mengusir mereka dari kawasan berkenaan yang terletak kira-kira 70km dari bandar Jammu.

Mereka yang bersubahat dengan beliau melakukan jenayah itu termasuk dua pegawai polis dan anak saudara lelakinya.

“Sewaktu siasatan dijalankan, yang dituduh Sanji Ram sudah mendapatkan ikrar pegawai polis yang bersubahat untuk melakukan jenayah terancang itu,” demikian menurut kertas pendakwaan yang disiarkan media tempatan.

Kanak-kanak perempuan itu dipilih kerana dia mudah dijadikan sasaran dan berasal dari keluarga pengembala yang miskin. Ram tahu kanak-kanak itu sering datang ke hutan untuk membawa kuda-kudanya makan rumput di situ.

Ram dan anak saudaranya berusia belasan tahun meneruskan upacara di kuil Devisthan kerana tidak mahu orang ramai berasa syak.

Remaja itu juga menjemput anak lelaki Ram yang belajar di universiti di Meerut, terletak kira-kira 500 km di negeri Uttar Pradesh untuk datang “melampiaskan nafsunya”.

Kemarahan orang ramai terhadap kes pembunuhan Asifa dapat dilihat di jalan-jalan raya serta di media sosial.

Masing-masing tertanya-tanya bagaimana jenayah kejam terus berlaku ke atas wanita dan kanak-kanak di seluruh India.

Maklumat terperinci mengenai pembunuhan Asifa mencetuskan kemarahan orang ramai dan memaksa kerajaan India untuk memberi perhatian berat.

Kabinet Kerajaan Persekutuan pada Sabtu lepas meluluskan hukuman mati terhadap perogol kanak-kanak perempuan berusia bawah 12 tahun.


Baru-baru ini dua menteri Bharatiya Janata Party (BJP) dalam kerajaan campuran Jammu dan Kashmir iaitu Lal Singh dan Chander Prakash, yang menyertai protes menyokong tertuduh dalam kes Asia, meletak jawatan.

“Seorang kanak-kanak dibunuh di sini. Mereka tak faham ramai wanita yang hilang sejak 1947. Tak ada siapa pun bertanya tentang mereka,” kata Singh di hadapan khalayak ramai yang memberi sorakan bergemuruh. Seorang pemimpin BJP di New Delhi mendakwa menteri-menteri itu “diperdaya.”

Meskipun hilang jawatan, Singh merancang untuk meneruskan “perjuangannya.”

Satu lagi kes rogol yang mendapat laporan besar-besaran ialah yang melibatkan ahli Parlimen BJP di Uttar Pradesh, negeri yang terkenal dengan kadar jenayah yang tinggi.

Ahli parlimen itu, Kuldeep Singh Sengar, ditangkap Biro Siasatan Pusat (CBI) selepas kes mangsa rogol itu mendapat pablisiti meluas.

Itu pun berlaku selepas bapa mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan polis.

Jelas sekali India kini berdepan dengan epidemik rogol yang serius.

Menurut rekod rasmi, untuk 2016 sahaja, lebih 100 kes rogol berlaku setiap hari di India dan secara puratanya 80 kematian berlaku.

Sekitar 40 peratus kes serangan seksual adalah terhadap kanak-kanak.

Jumlah ini mungkin lebih tinggi memandangkan banyak kes tidak dilaporkan atau polis enggan menerima aduan. Mereka yang melakukan jenayah kejam terhadap Asifa mungkin mengganggap akan terlepas daripada kekejaman yang dilakukan.

Kes Asifa ini melibatkan sistem perundangan India yang sering dikatakan tidak melindungi masyarakat minoriti serta yang lemah di negeri itu dan golongan Dalit.

Protes terhadap kes di Kathua dilakukan di kebanyakan bandar di India dan ini mengingatkan kembali apa yang berlaku pada 2012 yang melibatkan kes rogol beramai-ramai terhadap seorang pelajar di dalam bas yang sedang bergerak di Delhi.

Kemarahan terhadap kes Asifa berterusan, begitu juga debat mengenai jenayah terhadap wanita. Ramai selebriti mengambil gambar di belakang pelekat yang berbunyi ” Saya orang Hindustan. Saya Amat Malu.”

Bagaimanapun, sentimen ini mendapat bantahan.

Antaranya yang ditujukan kepada bintang filem Swara Bhasker kerana kelantangannya mengutuk kes rogol dan bunuh di Kathua.

Mereka yang mengecam bintang filem ini melancarkan kempen untuk memulau filem lakonannya dan membuang aplikasi Amazon kerana aktres itu terlibat dengan promosi peruncit dalam talian. – BERNAMA

Kategori