KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyelar hasrat Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketua Pemudanya Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pembinaan projek ECRL sepatutnya dilihat dari aspek makro iaitu merangsang pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), bukan semata-mata atas sentimen politik.
PAS kekal berpendirian untuk bersama membangun ekonomi rakyat khususnya di wilayah ECER yang mewakili 51 peratus daripada Semenanjung Malaysia, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 2 April lepas, Dr Mahathir pada sidang media Program Bicara Bersama Tun M Siri 2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda berkata mahu membatalkan projek ECRL yang bernilai RM55 billion kerana ia satu pembaziran. – BERNAMA

