BENTONG – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob akan menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah esok, bagi mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
Adnan berkata setakat ini, mereka masih menyiapkan dokumen berkaitan yang diperlukan sebelum menghadap Tengku Abdullah.
“Insya-Allah, esok saya akan menghadap,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi di sini, hari ini.
Pembubaran itu bagi membolehkan pilihan raya umum negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Penggal lima tahun DUN Pahang akan tamat esok dan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang di bawah Perkara 26, Fasal 3 Dewan Negeri hendaklah berjalan terus selama lima tahun daripada tarikh persidangan pertama dan terbubar pada hujung tempoh itu kecuali dibubarkan terlebih dahulu.
Adnan dijangka menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Kebesaran Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, esok yang dijadual disempurnakan Tengku Abdullah.
Dalam masa yang sama, Adnan juga memaklumkan Barisan Nasional (BN) Pahang akan mengumumkan manifestonya pada Selasa depan.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok bagi membolehkan PRU14 diadakan.
– BERNAMA