JOHOR BAHRU — Seramai 106 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berdepan detik cemas apabila bot pancung yang dinaiki mereka karam di kedudukan satu batu nautika dari utara Abu Bakar Maritime Base, Batuan Tengah, berdekatan Pulau Batu Putih, awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata kesemua PATI itu bagaimanapun terselamat hasil tindakan pantas pihak berkuasa Singapura yang berada berhampiran tempat kejadian ketika kejadian kira-kira 3.30 pagi itu.
Beliau berkata kejadian itu berlaku apabila kesemua PATI warganegara Indonesia itu dipercayai keluar dari perairan Johor timur dan sedang dalam perjalanan menuju ke Indonesia.
“Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menerima maklumat daripada Pusat Koordinasi Menyelamat Maritim Putrajaya berkaitan kejadian itu pada pukul 9 pagi tadi dan seterusnya menghantar aset ke lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh aset pihak berkuasa Singapura yang berada berhampiran tempat kejadian dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada aset pihak berkuasa Indonesia yang turut terlibat dalam operasi menyelamat tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata mangsa yang selamat seterusnya dibawa ke Pulau Batam untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA