UNIK… Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sah bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen Lumut dan pertahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Dalam pengumuman calon BN Perak untuk PRU-14 di Ipoh hari ini, bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang letak jawatan pada Jun lalu diberi mandat pertahan kerusi Parlimen Tambun.
Empat penyandang kerusi Parlimen berjawatan Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut sah dicalonkan semula.
Ahmad Zahid bertanding di Bagan Datuk, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kekal di Larut dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Padang Rengas manakala Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong di Teluk Intan.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCA yang juga Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan tidak dicalonkan di Parlimen Tanjung Malim.
Beliau digantikan oleh Pengerusi MCA Perak, Datuk Mah Hang Soon. Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany sekali lagi dicalonkan di Parlimen Sungai Siput.
Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan antara muka baharu yang pertaruhkan kali ini apabila diumumkan bertanding di Parlimen Parit Buntar.
Sementara itu, Zambry berkata, BN meletakkan calon di semua 24 kerusi Parlimen dan 59 DUN. Menurutnya, calon-calon yang ditampilkan berlatar belakangkan golong profesional, pentadbir, guru dan pemimpin akar umbi.
“Calon dipilih setelah melalui proses penelitian dan saringan yang diterima di peringkat akar umbi dan diperakui oleh parti,” kata beliau pada majlis tersebut.
BN Perak ujar Zambry yang juga Pengerusi BN negeri, parti itu menampilkan 54.3 peratus muka baharu calon untuk DUN dan 29 peratus muka baru bagi kerusi Parlimen dalam PRU kali ini.
Daripada semua 24 kerusi Parlimen dan 59 Parlimen yang ditandingi BN, 30.5 peratus calon yang dipilih terdiri daripada kumpulan generasi muda bagi kerusi DUN manakala 16.6 peratus calon muda di kerusi Parlimen.
Menurutnya, BN Perak juga mengiktiraf peranan kaum wanita dengan menampilkan 13 orang calon wanita termasuk dua daripadanya merupakan Ketua Puteri.
“Daripada 13 calon wanita berkenaan, 10 calon dinamakan bagi kerusi DUN dan tiga bagi kerusi Parlimen.
“Daripada 31 kerusi yang dimenangi oleh BN pada PRU-13 yang lalu, lapan penyandang digantikan dengan muka baru,” katanya. Majlis turut dihadiri Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN.
Menurut Zambry, calon-calon yang ditampilkan datang daripada pelbagai latar belakang yang terdiri daripada golongan profesional, pentadbir, guru dan juga pemimpin di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, gandingan itu diharap akan dapat membentuk satu pasukan kerja yang mantap. Katanya, calon yang dipilih melalui proses rundingan di semua peringkat, bermula dengan mengambil kira pandangan akar umbi.
Mereka turut diteliti di peringkat negeri yang kemudiannya diangkat ke peringkat pucuk pimpinan parti. Calon-calon yang dikemukakan itu malahan telah melalui saringan.
“Dan yang paling penting diterima baik oleh semua peringkat parti bermula daripada peringkat akar umbi serta diperakukan oleh pucuk pimpinan parti,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA