Monday, November 11, 2024

Creating liberating content

Saifuddin Bidas Kenyataan ‘Melulu’...

PUTRAJAYA hari ini membidas kenyataan Singapura yang mencadangkan Malaysia tidak menghormati perjanjian air...

GPPPKMM Mahu Bantuan Modal,...

KOTA BHARU - Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) berharap...

Raja Azmi Nikah Semula...

SETELAH lebih setahun bergelar janda, produser terkenal Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan dirinya...

Farah Ann Menang Emas...

MANILA - Ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi dan Tan Ing Yueh...

Berita Tak Benar Ancaman Besar Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR – Teknologi komunikasi maklumat yang semakin pesat bukan sahaja memudahkan perkongsian maklumat tetapi turut menyebarkan berita tidak benar dalam dimensi siber hingga boleh membawa ancaman dan bahaya besar kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Berucap merasmikan penutupan Forum Putrajaya 2018 hari ini, beliau berkata langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan dalam mengekang ancaman itu tidak sepatutnya dilihat sebagai menafikan kebebasan untuk menggunakan internet dan platform media sosial.

“Malaysia melihat terlalu banyak berita tidak benar disebarkan dari depan ke belakang, dari selatan ke utara, timur ke barat, dan sudah semestinya ini bukan cara terbaik untuk maju.

“Berita tidak benar membahayakan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneutralkan bahaya yang ditimbulkan olehnya. Haruslah ingat bahawa langkah ini bukanlah alat untuk menutup mulut pengkritik kerajaan atau menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar,”katanya.

Forum ‘Menentu Ukur Semula Kerangka Keselamatan Serantau’ dianjurkan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa langkah-langkah yang diambil untuk mengendalikan berita tidak benar juga termasuk mendidik orang ramai untuk menjadi pengguna internet yang bertanggungjawab dan bukannya penyebar berita palsu dan tidak benar.

Beliau berkata ancaman seperti itu membangkitkan persoalan tentang sejauh mana pertubuhan keselamatan dan pertahanan harus terlibat dan bertindak balas terutamanya ketika negara menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei ini.

“Ini adalah tempoh di mana kita akan menyaksikan berita dan berita tidak benar didigitalisasikan, memasuki rangkaian dan (disebar secara) automatik. Kerajaan telah menyediakan beberapa langkah untuk mengendalikan berita tidak benar, yang sememangnya tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya hanya mendatangkan bahaya kepada negara dan masyarakat.

“Kerajaan bertekad untuk memastikan orang ramai tidak dimomokkan dengan berita palsu,” katanya sambil memberitahu bahawa ancaman seperti itu adalah antara cabaran utama yang harus ditangani oleh semua agensi pertahanan dan keselamatan sehinggalah bertahun-tahun lamanya.


Ahmad Zahid turut menarik perhatian bahawa cabaran keselamatan masa kini tidak lagi dalam bentuk konflik negara ke negara seperti sebelum ini.

“Sebaliknya, kita sentiasa diancam risiko yang semakin meningkat yang ditimbulkan oleh pelaku bukan kerajaan, dari pelampau agama antarabangsa kepada pengganas siber. Sekarang, garis yang memisahkan keselamatan tradisional dan bukan tradisional juga kabur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata perkongsian awam-swasta mungkin merupakan laluan bagi ASEAN dalam menguruskan keselamatan dan kestabilan serantau kerana ini dapat menghimpunkan semua pakar dan wakil serantau dari semua sektor.

Ahmad Zahid berkata ASEAN harus melangkaui sempadannya serta meningkatkan inisiatif dan kerjasama serantau melalui kerangka organisasi seperti Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Campur.

“Saya yakin kerjasama erat seperti ini akan terus berjaya dalam menangani sebarang ancaman terhadap keselamatan dan kestabilan serantau,” katanya.

Pameran empat hari itu, yang dirasmikan Ahmad Zahid pada Ahad di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini, menghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 perwakilan dari 45 negara.

Ia dijangka menarik kunjungan 40,000 pelawat dan menjadi platform bagi pengurusan pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea, sambil memberi peluang kepada peserta industri memasarkan produk mereka. – BERNAMA

Kategori