RATA-RATA peminat muzik tempatan sudah mengetahui bahawa penyanyi rap, Altimet bakal bersara daripada bidang nyanyian pada November tahun ini sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-40 selepas bertahun-tahun mewarnai industri muzik tanah air.
Menjelang hari keramatnya itu, Altimet berharap ketiadaannya dalam industri dapat membuka ruang yang lebih besar kepada pendatang baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkannya.
Jelasnya, sebagai seorang yang senior dalam muzik irama hip hop, dia ingin melihat perkembangan muzik genre itu depenuhi dengan muka-muka baharu.

Altimet berkata pengunduran dirinya daripada menjadi penyanyi rap adalah sebagai salah satu caranya untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang hip hop.
“Macam mana orang baru hendak naik kalau orang lama tak buka ruang itu?
“Jadi demi kemajuan hip hop, orang ‘veteran’ seperti saya kena buka ruang itu kerana saya mahu wujudkan kelompongan itu supaya ada yang mengisinya,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Mengulas mengenai persaraannya sempena hari lahirnya yang ke-40 pada 27 November depan, Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman berkata, sudah tiba masanya untuk dia berubah angin ke bidang lain.

Bagaimanapun, Altimet berkata bahawa dia tidak akan meninggalkan sepenuhnya bidang muzik dan masih akan terlibat menerusi gubahan dan penulisan lagu dan juga proses belakang tabir penerbitan muzik buat penyanyi lain.
Altimet mula dikenali dalam arena hiburan negara ketika menganggotai kumpulan lagenda hip hop Teh Tarik Crew bersama Mizz Nina, Fiquetional dan DJ Fuzz hampir dua dekad yang lalu.
Sementara itu, Altimet mengakui bahawa industri rap boleh diangkat ke tahap yang lebih tinggi menerusi penyanyi rap generasi baharu seperti Sonaone, Aman RA, Akeem Jahat dan Alif yang dilihat memiliki potensi besar dalam bidang itu.

Ujar Altimet, sejak di awal kemunculan mereka, dia sudah memandang tinggi kebolehan dan bakat yang dimiliki mereka dan sememamngnya mampu pergi jauh dalam industri sekiranya diberi peluang menyerlahkan bakat.
“Mereka memang berbakat besar dan mempunyai potensi kerana keunikan yang ada pada diri masing-masing.
“Saya yakin nama-nama ini mampu membawa perubahan kepada hip-hop pada masa hadapan,” jelasnya.
Altimet ditemui pihak media ketika melancarkan album terbaharunya berjudul Air yang merupakan album kedua terakhirnya sebelum kehadiran satu lagi album selepas bulan Ramadhan yang akan menjadi karya terakhirnya sebelum bersara.

Lapor BH Online, ketika berkongsi mengenai inspirasinya menghasilkan album Air, Altimet berkata dia mengambil kata-kata daripada legenda filem aksi, Bruce Lee yang sehingga kini tersemat di hatinya.
“Dia pernah berkata ‘be like water’ dan saya cuba jadi macam air yang mengikut apa yang orang lakukan untuk saya dan cuba mengikut kesesuaian diri,” katanya.
Album tersebut memuatkan enam lagu yang menyaksikan Altimet bekerjasama dengan komposer hebat termasuk Omar K, Navigator, Emir Hermono, Kidd Santhe dan Music Kitchen.
Album tersebut kini boleh didengari orang ramai melalui platform digital selain album fizikal yang telah mula boleh didapati sejak 1 April yang lalu. – MYNEWSHUB.CC/EZ

