PENAT asyik ditanya soal kisah percintaan berbanding karier seni, penyanyi lagu Susun Silang Kata, Aizat Amdan menegaskan bahawa dia tidak mahu lagi mengulas lanjut kisah peribadinya itu.

Sebaliknya, pemilik nama sebenar Muhammad Aizat Amdan itu lebih selesa untuk mengulas tentang hal tersebut selepas jodohnya itu sudah jelas.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berhenti menjawab atau bercerita lagi tentang kehidupan peribadi.
“Harap sangat semua pihak memahami dengan keputusan saya ini. Saya tak nak bercakap soal jodoh yang kita sendiri tak tahu apa kesudahannya lagi,” katanya dipetik daripada portal mStar Online.
Bagaimanapun, penyanyi dan komposer berusia 29 tahun itu turut memberitahu bahawa jika sudah tiba masanya, dia pasti akan berkongsikan berita gembira itu kepada semua.

Isu itu mula diketahui umum apabila sebuah akhbar tempatan telah menyiarkan berita bahawa bekas pelajar Akademi Fantasia Musim Kelima itu sedang dilamun cinta tetapi tidak mendedahkan identiti gadis bertuah itu.
Malam semalam, Aizat baru sahaja melancarkan lagu baharunya berjudul Sampai Ke Hari Tua versi original serta dalam bahasa Hindi di Stalker Cafe, Petaling Jaya, Selangor.
Menurutnya, lirik ditukar bahasa itu telah dibantu oleh seorang jururawat berkebolehan berbahasa Hindi ketika menjaga bapanya, Datuk Amdan Mat Din yang terlantar sakit sejak enam bulan lalu akibat strok sebelah badan.

“Memang dari dulu lagi saya simpan impian nak ada lagu versi bahasa lain. Ayah saya juga selalu minta saya buat lagu selain bahasa Melayu dan Inggeris.
“Alhamdulillah, dengan bantuan daripada jururawat lelaki yang menjaga ayah saya iaitu Jasim, saya dapat menukarkan lirik lagu Sampai Ke Hari Tua kepada bahasa Hindi.
“Dia yang tolong saya mencantikkan lagi makna lirik itu dalam bahasa tersebut. Saya hanya mengambil masa tiga hari untuk hafal,” tambahnya lagi.

Lagu Sampai Ke Hari Tua pertama kali didengari ketika majlis resepsi pasangan selebriti kegemaran ramai iaitu Fattah Amin dan Nur Fazura. – MYNEWSHUB.CC/ AH

