KUNAK – Bagi Rosminah Laangku, seorang pengusaha salun dan produk kecantikan di Kunak, badan pinjaman kerajaan, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merupakan platform terbaik baginya meningkatkan taraf hidup keluarganya sekali gus menjadi batu loncatan baginya mengembangkan perniagaan.
Rosminah, 34, berasal dari Kampung Kunak Jaya berkata melalui pinjaman AIM dan selepas mengharungi pelbagai cabaran dan risiko, perniagaan salonnya kini mampu meraih pendapatan bersih kira-kira RM4,000 sebulan.
“Saya membuat pinjaman RM1,000 dengan AIM bermula pada Febuari 2003 dan duit itu dijadikan modal bersama suami Muhammad Fazil Muhammad Wali, 37, untuk menjual kain dan barangan elektrik rumah ke rumah dan menumpang jualan yang ditumpangkan di kedai rakan-rakan.
“Hasil untung itu, kami gunakan untuk menjalankan bermacam-macam perniagaan termasuk barang perhiasan wanita dan membuka salun iaitu Gold Beauty Saloon yang diusahakan sehingga kini,” katanya kepada Bernama.
Gold Beauty Saloon yang terletak di pekan Kunak menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk menggunting rambut, cuci rambut, merias kuku termasuk rawatan muka.
“Harga serendah RM5 sehingga RM150 ditawarkan bergantung kepada jenis perkhidmatan seperti gunting rambut kanak-kanak, buat manicure dan facial,” katanya yang tidak lari daripada berhadapan masalah seperti pekerja membawa lari wang, pelanggan lari tidak bayar serta dua kali kes kecurian di kedai.
Dalam pada itu, Rosminah yang merupakan graduan Diploma dari sebuah kolej swasta dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak berkata beliau kini mencuba nasib membuka tadika swasta ‘Cemerlang Bestari’ di Kampung Bagiang dan dijangka mula beroperasi, Mei ini.
“Minat dalam bidang pendidikan awal menjadikan saya nekad mahu membuka tadika sendiri dengan ketika ini saya turut menyambung pengajian pendidikan jarak jauh (PJJ) dalam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pendidikan Awal Kanak-kanak di Open University Malaysia (OUM) Tawau mulai tahun lalu.
Rosminah berkata segala yang diusahakannya pada hari ini adalah hasil perniagaan yang bermula daripada bantuan AIM.
Sementara itu, seorang suri rumah dari Kampung Getah di sini, Hamsila Malik, 50, turut senada dengan Rosminah dan berkata AIM merupakan tulang belakang di sebalik kejayaan perniagaan kateringnya pada hari ini.
Cerita Hamsila bermula dengan pinjaman AIM sebanyak RM900 untuk berniaga kecil-kecilan kuih muih pada tahun 2003.
“Daripada modal AIM itu, perniagaan saya berkembang dari semasa ke semasa dan turut menerima bantuan khidmat kursus AIM seperti pengurusan kewangan serta meningkatkan kemahiran dalam membuat kek dan kuih muih,” katanya yang berniaga untuk meringankan beban suaminya Caisa Ismail, 60, seorang pemandu di jabatan kerajaan di sini.
Ibu kepada lapan anak itu berkata kini dia mampu memperoleh pendapatan RM6,000 sebulan dan mempunyai gerai kuih muih di Pasar Malam Kunak serta membuka perkhidmatan katering dan mengambil tempahan kuih muih dan kek.
Hamsila berkata kuih penyaram antara yang mendapat permintaan tinggi dan dalam sehari mampu dijual sehingga RM100 untuk kuih tersebut sahaja.
“Selain itu ada juga tempahan kuih termasuk baulu dan sapit yang dijual dengan harga RM50 hingga RM55 untuk satu tin.
“Ada tempahan tertentu yang kadang-kadang terpaksa ditolak kerana tidak mampu memenuhinya memandangkan saya cuma dibantu oleh anak-anak selain menjaga kualiti kuih,” katanya.
Di sebalik keberhasilan perniagaan itu, Hamsila berkata antara cabaran yang perlu dihadapi adalah saingan daripada peniaga lain namun yakin semua peniaga ada rezeki masing-masing.
Pada tahun ini, Hamsila sekali lagi membuat dua pinjaman iaitu masing-masing RM20,000 dan RM10,000 melalui skim sejahtera AIM dengan bayaran semula RM667 seminggu bagi mengembangkan perniagaannya di bawah CH Enterprise dan JJ Family Kitchen
Pada tahun ini, AIM menyasarkan dana pinjaman RM7.8 juta kepada 1,200 Sahabat AIM yang aktif di Kunak.
Penolong Pengurus AIM Wilayah Sabah Selatan, Jumat Jamaludin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 juta telah dipinjamkan kepada Sahabat AIM Kunak sehingga Mac tahun ini.
“Sasaran itu berdasarkan analisis keperluan modal Sahabat AIM di Kunak untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya. – BERNAMA