KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara Adam Norrodin yakin mampu berada dalam kelompok 10 terbaik pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina pada hujung minggu ini.
Adam, yang hampir meraih podium di litar tersebut pada awal pembabitannya dalam perlumbaan MotoGP, berkata saat menolak jenteranya ketika 20 meter terakhir sehingga ke garisan penamat pada 2016 merupakan kenangan yang sukar dilupakan.
“Litar Argentina sangat istimewa buat saya. Litar ini juga mencabar buat semua pelumba, saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk mendapat catatan masa yang bagus ketika sesi kelayakan nanti.
“Keputusan baik pada perlumbaan di litar Qatar memberi motivasi untuk tampil lebih konsisten pada perlumbaan minggu ini,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp.
Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing itu memulakan perlumbaan musim ini dengan keputusan terpuji selepas mengutip lima mata, di kedudukan 11 terbaik daripada 26 pelumba.
Pelumba berusia 20 tahun itu yakin dengan kemampuannya untuk berada dalam kelompok 10 terbaik musim ini kerana prestasinya pada hari perlumbaan lebih cemerlang berbanding sesi kelayakan.
“Saya perlu memberi tumpuan pada sesi kelayakan bagi mendapatkan catatan masa terbaik untuk berada di kelompok hadapan. Saya yakin mampu melakukannya kerana setiap kali hari perlumbaan prestasi saya lebih baik berbanding kelayakan,” jelasnya.
Sementara itu, bagi pelumba Moto2, Zulfahmi Khairuddin berkata pasukannya, SIC Racing sedang berusaha meningkatkan prestasi jentera supaya lebih kompetitif pada perlumbaan minggu ini.
“Selepas perlumbaan yang sukar di Litar Losail, Qatar, saya kini fokus untuk Argentina. Banyak perkara perlu diperbaiki bukan sahaja dalam aspek jentera tetapi saya juga perlu tingkatkan teknik tunggangan yang lebih baik,’” katanya. – BERNAMA