JOHOR BAHRU – Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun, pecah rumah serta mencuri kenderaan sekitar Johor Bahru Utara (JBU) dan Kulai, semalam serta awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah JBU ACP Mohd Taib Ahmad berkata bertindak atas maklumat, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Bukit Kempas, dekat sini pada 8.30 malam tadi dan menahan tiga lelaki serta seorang wanita.
Seorang suspek lelaki, bagaimanapun bertindak melarikan diri sebelum berjaya ditahan semula di sebuah rumah di Kampung Kempas Baru pada 2.30 pagi tadi.
Susulan daripada penahanan kesemua suspek yang berumur antara 30 dan 48 tahun itu, polis merampas tiga kereta, pelbagai peralatan untuk pecah rumah serta barangan milik mangsa, antaranya wang tunai, barang kemas, jam tangan serta telefon bimbit.
“Selain itu, polis juga menjumpai satu set vacum, mesin penapis air, penimbang berat, monitor kamera litar tertutup dan dekoder CCTV, amplifier kuasa, beg laptop warna hitam, Ipad jenama Apple serta dua telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Polis turut merampas satu beg galas yang mengandungi sepasang sarung tangan getah, topeng muka, pemotong besi, kuku kambing besi, besi pengumpil, kunci Allen dan dua pemutar skru kepala diubah suai.
Mohd Taib berkata pihaknya mendapati suspek wanita mempunyai rekod bersabit Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.
Kesemua suspek direman tiga hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Sekyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – BERNAMA