KUALA LUMPUR – Lima lelaki berumur 17 hingga 20 tahun yang terlibat dalam kegiatan curi motosikal ditahan di sekitar Kajang, Selangor pada 3 April lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kesemua suspek ditahan menerusi Operasi Lejang Khas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
“Siasatan awal mendapati kumpulan ini disyaki telah mencuri motosikal bagi tujuan kegunaan sendiri dan juga sebagai alat ganti motosikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata berikutan kejayaan menumpaskan kumpulan curi motosikal itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 19 kes curi motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang sejak Disember 2017 sehingga bulan lepas.
Menurutnya, semakan rekod ke atas kelima-lima tangkapan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan rekod dadah malah ujian saringan air kencing terhadap kelima-lima mereka turut negatif.
“Mereka telah ditahan reman selama seminggu bermula Rabu lepas bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata pihaknya telah berjaya menyelesaikan sebanyak 86 kes daripada 215 kes yang diterima berhubung kes kecurian motosikal di daerah Kajang bagi tempoh Januari tahun ini hingga Jumaat lepas.
“Seramai 35 orang telah dituduh di bawah pelbagai kesalahan. Daripada penyelesaian kes yang telah dibuat, sebanyak 29 motosikal, 11 unit enjin motosikal dan empat unit rangka motosikal yang dileraikan telah dirampas,” katanya. – BERNAMA