PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan tiga rakan membela diri atas dua pertuduhan merompak pekerja dan pelanggan restoran mamak, menggunakan parang dan mengambil pelbagai barang bernilai lebih RM35,000, dua tahun lalu.
Hakim Azwarnida Affandi membuat keputusan itu terhadap Muhammad Eddy Adha Anwar, 25, pelajar kolej, Muhammad Amirul Shazwan Ismail, 23, pekerja pusat cucian kereta dan Ahmad Sabirin Mohd Yusoff, 24, penghantar alat ganti kenderaan, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
“Setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan, mahkamah berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas ketiga-tiga tertuduh.
Mahkamah dengan ini memerintahkan kesemua tertuduh membela diri terhadap kedua-dua pertuduhan,” katanya yang telah mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan pada perbicaraan bermula 26 Julai 2017.
Hakim Azwarnida juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam dan telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi itu memberi keterangan masing-masing hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mei untuk hujahan dan keputusan padai akhir kes pembelaan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali.
Ketiga-tiga lelaki mengaku tidak bersalah bersama-sama telah merompak Bhabes Chandra, 25, pekerja restoran mamak warganegara India, dengan mengacukan tiga bilah parang yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah serta melarikan barang bernilai RM35, 650.
Mereka turut didakwa merompak Wan Muhamad Zunnur Wan Mansor, 27, pelanggan restoran itu, juga dengan mengacukan tiga bilah parang serta melarikan sebuah komputer riba, permainan mudah alih PlayStation Portable (PSP) dan wang tunai RM1,000.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Nasi Kandar Pokok Kelapa, Taman Maju Jaya, di sini pada 4.30 pagi, 7 Mac 2016 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Mengikut keterangan kes, ketiga-tiga tertuduh telah masuk ke restoran itu dan melakukan rompakan ketika restoran itu dipenuhi beberapa pelanggan dan semua pelanggan yang berada di dalam restoran bergegas melarikan diri.
Bagaimanapun Wan Muhamad Zunnur yang ketika itu makan di luar kawasan restoran tidak melarikan diri kerana tidak menyangka restoran itu sedang dirompak. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…

