KUALA LUMPUR – Dua badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap satu video berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya ingin menggulingkan Yang di-Pertuan Agong.
Dua NGO yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini ialah Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) dan Persatuan Maqasid Syariah.
Presiden PSUAM Syed Imran Syed Abdul Aziz berkata pihaknya mahu tindakan tegas dan sewajarnya diambil oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berhubung video berkenaan yang dilihat boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Beliau mendakwa ada individu tertentu yang dipercayai membuat kenyataan berunsur fitnah itu.
“Kita amat kecewa dan marah dengan kenyataan yang dimuat naik olehnya… ia memang jelas satu fitnah berniat jahat dan satu keganasan terancang yang bertujuan untuk menakutkan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Selain itu, kumpulan berkenaan turut membuat laporan polis tentang satu status di laman sosial Facebook yang dipercayai memuat naik gambar dan video menghina perdana menteri bertujuan untuk menjatuhkan imej pemimpin negara demi mencapai maksud tertentu.
“Pihak tidak bertanggungawab sengaja memburukkan imej pemimpin negara kita sendiri hingga sanggup melakukan apa sahaja cara yang tidak sah dari segi undang-undang”.
“Jadi mereka akan cuba keluarkan fakta-fakta yang salah dan isu-isu fitnah di media sosial bertujuan untuk memecah-belahkan rakyat dan menggugat keamanan negara,” katanya.
Beliau menyokong sepenuhnya Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang diperkenalkan kerajaan dan menyarankan supaya penggunaan Facebook ditutup buat sementara. – BERNAMA