KUALA LUMPUR – Inisiatif golongan muda dalam menyumbang tenaga dan bantuan fizikal kepada masyarakat setempat mampu membangkitkan semangat cintakan negara.
Perkara itu terbukti dengan penglibatan generasi berkenaan dalam aktiviti sukarelawan melalui program Maju Bersama Negaraku yang disertai oleh beberapa artis tempatan serta penuntut Institut Delta Semarak di sini.
Penyanyi Sufian Suhaimi yang menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan Tabika Perpaduan Kampung Pandan, Baiduri D di Cheras di sini, berpendapat program itu mampu membuka mata golongan belia untuk sama-sama berganding bahu dalam memberi sumbangan kepada negara walaupun hanya sekecil bantuan.
“Saya rasa intiatif Maju Bersama Negaraku merupakan inisiatif baik yang diusulkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita untuk sama-sama membantu penduduk setempat sebagai contoh dalam menambah baik prasarana.
“Saya rasa semua orang dilahirkan dengan nilai murni dan program sebegini dapat membuka mata golongan muda untuk berkhidmat kepada negara. Walaupun usaha kecil kalau buat beramai-ramai boleh beri sesuatu yang baik kepada komuniti setempat,” katanya yang akan menyertai program yang sama di Kampung Bukit Changgang Dengkil petang ini.
Semalam, melalui program tersebut, penduduk Kampung Orang Asli Pertap, Kuala Kubu Bharu, mendapat gelanggang sepak takraw bagi kegunaan aktiviti riadah di kawasan itu.
Program berbentuk kemasyarakatan itu merupakan kesinambungan inisiatif ‘Negaraku’ yang diumumkan Najib pada tahun lepas. – BERNAMA