KOTA BHARU – Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mahu membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan menghadiahkan lebih banyak keputusan menggembirakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Jurulatih berasal dari Perlis itu berkata dengan mencatatkan keputusan positif dan peningkatan mutu permainan pasukan merupakan cara baginya membalas kepercayaan majikannya itu.
“Saya perlu berusaha keras menggunakan pengalaman yang dimiliki bagi memberikan sesuatu yang gembira kepada KAFA walaupun untuk memperolehi keputusan positif setiap perlawanan yang dilalui agak sukar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam Bernama melaporkan, KAFA terus memberikan kepercayaan kepada Yusri bagi membimbing pasukan Kelantan sehingga persatuan itu memilih ketua jurulatih baharu selepas menggugurkan Sathit Bensoh.
Bagi membalas kepercayaan yang diberikan itu, Yusri juga mengharapkan kerjasama daripada pemain Kelantan.
”Saya mengharapkan pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan dua perlawanan sebelum ini di samping meningkatkan prestasi dan memperbaiki kelemahan,” katanya.
Beliau berkata tanggungjawab yang diberikan oleh KAFA tidak memberikan tekanan kepadanya namun beliau melihat tanggungjawab itu satu cabaran kepada dirinya untuk membawa pasukan Kelantan sebagai salah satu pencabar pada saingan Liga Malaysia.
“Selepas ini saya akan berdepan tugas sukar iaitu berdepan pasukan PKNS FC yang mana pasukan ini dilihat antara pasukan pencabar pada siangan Liga Malaysia dan mempunyai barisan pemain berkualiti tinggi,” katanya.
Untuk rekod selepas mengambil alih tanggungjawab daripada Sathit Bensoh pada pertenghan Januari lalu Yusri berjaya menghadiahkan dua kemenangan berturut-turut iaitu menewaskan Perak 3-2 dalam kempen Liga Super dan Terengganu City 2-0 pada pusingan kedua Piala FA. – BERNAMA