LAHAD DATU – Seorang lelaki warga emas rentung apabila rumahnya di Jalan Dam Baru, Kawasan Perusahaan Ringan Ley, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi ini.
Dalam kejadian jam 1.50 pagi itu, mayat Tai Pang Sang, berusia 70-an, ditemui dalam biliknya oleh anggota bomba yang menjalankan pemeriksaan di kediaman mangsa selepas selesai memadamkan kebakaran.
Mangsa dipercayai tinggal berseorangan bersama anjing peliharaannya.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, dalam kenyataan, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2 pagi sebelum tiga jentera dihantar ke lokasi kejadian.
Setiba di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal musnah dijilat api, katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran. – BERNAMA