KUCHING – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meneruskan program lawatannya di negeri ini dengan meluangkan masa menghadiri majlis makan tengah hari di kediaman Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Ahmad Zahid tiba kira-kira 11.50 pagi di kediaman Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak itu.
Terdahulu, isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan isteri Ketua Menteri Sarawak Datin Patinggi Juma’ani Tun Tuanku Bujang tiba kira-kira 11.30 pagi.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing.
Ahmad Zahid, Kui Hian serta Masing bersama tetamu lain kemudiannya mengambil kesempatan menggaul yee sang sebelum menikmati hidangan makan tengah hari. – BERNAMA