PADA masa Britain, Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu mengambil tindakan menghalau diplomat Rusia atas dakwaan terlibat dalam serangan racun terhadap Sergei Skripal, bekas perisiknya di Britain, Turki menunjukkan sikap yang berbeza.
Turki, anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang masih mahu menyertai Kesatuan Eropah itu mengekalkan hubungan baik dengan Rusia, walaupun jurucakap kementerian luarnya membuat kenyataan mengutuk serangan racun itu.
Pada 26 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Turki Bekir Bozdag berkata Ankara tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Rusia, dan hubungan kedua-dua negara kini berada dalam keadaan baik.
Ankara terus mengekalkan hubungan baik dan menolak daripada mengambil sebarang tindakan terhadap Rusia, walaupun dalam bentuk simbolik.
Setakat ini, 27 negara telah mengumumkan tindakan menghalau diplomat Rusia, dengan jumlah terbesar ialah Amerika Syarikat yang menghalau seramai 60 orang diplomat, mengatasi Britain yang menghalau 23 orang.
Ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels pula mengusir tujuh orang diplomat Rusia.
Kebanyakan negara sekutu Barat selain Kanada dan negara-negara Eropah Barat mengambil tindakan yang menunjukkan solidariti dengan Britain, tetapi berhati-hati dengan mengusir satu atau dua orang diplomat.
Selepas AS dan Britain, jumlah terbesar diikuti oleh Ukraine seramai 13 orang. Ukraine ialah titik panas yang menjadi pencetus hubungan dingin dan pertembungan Rusia dengan Barat masa kini, hasil persaingan geopolitik di kawasan bekas Soviet yang semakin memasuki orbit AS itu.
Rusia pada 2014 mengunakan kekuatan ketenteraan mengambil semula wilayah Crimea di Laut Hitam, dan AS bersama sekutu mengenakan pelbagai tindakan terhadap Rusia sejak itu, terutama dalam bentuk sekatan.
Sejak itu hubungan Rusia dengan AS dan Eropah semakin merosot dan kini dianggap telah tiba pada keadaan seperti semasa Perang Dingin.
Turki juga tidak berhubungan baik dengan Rusia, dan hubungan semakin keruh hinggalah tahun 2016 apabila kedua-dua negara memulihkan hubungan apabila menyedari kepentingan bersama berdepan Barat.
Hubungan baik dan kerjasama rapat Turki-Rusia ini telah berlangsung selama beberapa tahun dan bertambah baik dalam usaha mencari penyelesaian konflik Syria.

Minggu depan, presiden Turki, Rusia, dan Iran akan bertemu dalam sidang kemuncak di Ankara bagi membincangkan pelan untuk menangani isu Syria.
Pertemuan pemimpin tiga negara yang berkepentingan besar di Syria itu ialah lanjutan kerjasama yang bermula dalam pertemuan tiga pemimpin tersebut di Sochi, Rusia pada 22 November, 2017.
Rusia dan Iran mahu menghapuskan pengganas dan pemberontak yang memerangi kerajaan Presiden Bashar al-Assad, sekutu kuat mereka.
Turki pula mahu memperluaskan operasi memerangi kumpulan bersenjata Kurdi di Syria, sepanjang wilayah sempadan kedua-dua negara.
Operasi ketenteraan Turki ini dilaksanakan sebagai respons kepada tindakan AS memberi bantuan kepada pasukan bersenjata Kurdi dikenali YPG di sepanjang kawasan sempadan Turki-Syria itu.
Washington menganggap YPG sebagai pasukan terbaik dapat membantu dalam memerangi ISIS.
YPG ialah sayap ketenteraan gerakan Kurdi yang mahu bebas daripada kerajaan Syria, dan dianggap sebagai sebahagian daripada wilayah Kurdistan yang meliputi Iraq, Iran, Syria, dan Turki yang membentuk sebuah negara Kurdistan yang diimpikan.
Pada tahun lalu, Kurdistan Iraq mengadakan referendum kemerdekaan yang menerima sokongan lebih 92 peratus undi.
Kurdi di Syria telah mengisytiharkan autonomi, dan perkembangan ini membimbangkan bukan sahaja Syria tetapi juga Turki.
Tentera Turki telah merampas bandar Afrin di sempadan Turki-Syria dan sedang mensasarkan Manbij di sebelah timur.
Ankara kesal dengan sikap pentadbiran Trump yang didakwa bermuka-muka dan gagal membantu Turki memerangi kumpulan Kurdi itu.
Kumpulan Kurdi di Syria itu ialah sebahagian kumpulan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di Turki yang dilabel sebagai teroris.

Hubungan Turki-AS juga dilanda masalah berhubung pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 dari Rusia, yang didesak dihentikan segera oleh AS.
Sistem pertahanan peluru berpandu S-400 ialah sistem terbaharu dan tercanggih Rusia, yang berkeupayaan jarak jauh.
Turki dijangka menerima tempahan pertamanya pada tahun 2020.
Perjanjian pembelian sistem pertahanan itu diselesaikan pada Disember tahun lalu, menjadikan Turki negara NATO terbaru yang membeli peralatan ketenteraan canggih dari Rusia.
Pembelian sistem itu oleh Turki walau bagaimanapun lebih menimbulkan keresahan AS ekoran hubungan Washington-Ankara yang semakin merosot.
Turki didesak oleh AS untuk membeli sistem pertahanan peluru berpandu Patriot buatan AS dan menarik balik persetujuan membeli sistem S-400 dari Rusia.
Turki walau bagaimanapun berpendapat S-400 itu bukan alternatif kepada sistem Patriot buatan AS, dan pembelian Patriot tidak akan menjejaskan rancangan awal memperolehi S-400.
AS berkeras mahu Turki membeli Patriot dan didakwa mahu membatalkan pembelian pesawat tempur generasi baharu F-35 oleh Turki sekiranya pembelian S-400 dari Rusia diteruskan.
Perjanjian membeli pesawat F-35 itu walau bagaimanapun telah disempurnakan lebih awal pada 2014 dan penghantaran pesawat ke Turki dijangka bermula seawal tahun ini dan digunakan dalam perkhidmatan pertahanan Turki pada tahun depan.
Hubungan Turki dengan Rusia telah pulih dan kini berada dalam keadaan baik, walaupun wujud perbezaan dasar dan pendekatan berhubung penyelesaian konflik di Syria dan politik melibatkan kumpulan Kurdi.
Pendirian Turki mengekalkan hubungan baik dengan Rusia ketika tindakan bersama blok Barat mencetuskan suasana seperti Perang Dingin menunjukkan Ankara melihat kerjasamanya dengan Moscow pada masa ini penting dan selari dengan kepentingannya.
Di bawah Presiden Erdogan, Turki kelihatan semakin dingin hubungannya dengan AS dan sekutu-sekutu NATO lain, pada masa sama mengukuhkan hubungan dengan Rusia dan sekutu. – Mynewshub.cc/HZ

