“FRENCH Spiderman” gelaran yang berikan kepada Alain Robert kerana hobinya yang suka memanjat bangunan dan mercu tanda terkenal di kebanyakan negara sejak 11 tahun lalu.
Terbaru beliau buat kal lagi apabila dilaporkan telah berjaya memanjat Tour Total setinggi 190 meter atau 48 tingkat yang hanya mengambil masa satu jam semalam dengan usianya kini 55 tahun.
Lebih menakjubkan lagi, aktiviti berbahaya di pencakar langit di ibu kota Paris, Perancis itu berani dilakukannya hanya dengan menggunakan kapur dan kasut miliknya.
Robert bergayut dari satu tingkap ke tingkap yang lain dengan ditemani sorakan petugas pejabat yang menyaksikannya.
Lapor Astro Awani, ini adalah usahanya yang kedua dalam tempoh seminggu selepas beliau gagal dalam usaha memanjat satu lagi menara di daerah itu kerana dihalang oleh pihak keselamatan.
Beliau lazimnya tidak pernah mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk setiap aksinya dan pernah ditahan beberapa kali kerana tindakannya itu.
Pada 2008, Robert ditahan polis selepas menawan bangunan The New York Times untuk mengibarkan mesej berhubung pemanasan global.
Walaupun banyak kali ditahan kerana aktivitinya itu, namun Robert tidak pernah berhenti melakukan aktiviti yang boleh mengundang padah itu.
“Selagi saya mempunyai kekuatan fizikal, saya akan terus memanjat,” kata Robert.
Beliau pernah memanjat bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, Dubai dan mercu tanda yang lain seperti Menara Eiffel, dan Sydney Opera House, Australia serta Menara Berkembar Petronas. – MYNEWSHUB.CC/MIZE