HASRAT orang ramai yang mahu menyaksikan anak penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin untuk mengikuti jejak langkahnya menjadi penyanyi nampaknya tidak akan menjadi kenyataan.
Ini merupakan kehendak Siti sendiri yang tidak mahu anak sulungnya yang diberikan nama Siti Aafiyah itu menjalani kehidupan sebagai seorang selebriti.
Sebaliknya, penyanyi berusia 39 tahun itu berharap bayinya yang berusia lapan hari itu dapat dibesarkan mengikut perkembangan biasa seperti kanak-kanak lain.
“Saya tak mahu didik anak saya fokus menjadi seorang selebriti, saya nak dia hidup secara normal dan go with the flow.
“Kalau ada rezeki untuk dia pada masa akan datang, saya akan berbincang dengan suami dahulu, kalau suami kata tak perlu, saya tak buat.
“Apa yang kami minta hanya tujuh hari itu sahaja untuk kami umumkan sendiri namanya, selepas ini tiada yang eksklusif,” katanya memetik portal mStar Online.
Malam tadi, Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K mengumumkan nama anak perempuan mereka dalam satu majlis akikah dan tahnik yang diketuai Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Majlis berkenaan diadakan di kediaman Siti dan Datuk K yang terletak di Bukit Antarabangsa, Selangor yang turut dihadiri tetamu undangan mereka.
Melihat situasi sekeliling di mana kebanyakan artis mewujudkan akaun media sosial Instagram buat anak mereka, Siti berkata bahawa dia belum memikirkan tentang perkara itu.
“Berkaitan Instagram saya tidak fikir lagi, tapi saya kena fikir dan dalam masa yang sama saya mahu dia jalani kehidupan secara normal.
“Sebelum ini memang sudah banyak Instagram palsu yang menggunakan namanya, namun saya yakin peminat-peminat tidak percaya selagi saya tidak umumkan sendiri,” katanya.
Buat masa ini jelas Siti, gambar-gambar anaknya itu akan dimuat naik ke laman Instagram miliknya yang menggunakan nama @ctdk.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai populariti yang diraih anaknya walaupun baru seminggu dilahirkan, Siti berkata perhatian diterima anaknya itu merupakan tempias daripada penantiannya untuk bergelar ibu selepas 11 tahun berkahwin.
Memandangkan statusnya sebagai penyanyi terkenal tanah air menyebabkan kanak-kanak itu tidak dapat lari dari tempias populariti ibunya.
“Dia popular sebab terkena tempias ibunya seorang penyanyi. Mungkin sebab terlalu lama peminat menantikan detik ini.
“Penantian itu sendiri membuatkan dia (Aafiyah) menjadi perkara yang paling istimewa,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ