PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi mendedahkan bahawa pihaknya menerima antara 180 hingga 200 aduan temasuk kes melibatkan pinjaman wang dan masalah perceraian.
Bukan itu sahaja, malah terdapat juga segelintir ahli yang datang mengadu apabila lagu milik mereka tidak diputarkan di radio dan nama gagal di kredit dalam sebuah drama.
“Selain itu, kita ada membantu artis yang terbabit dalam kes polis dan jenayah berat, dengan merujuk kepada peguam persatuan.
“Kami terima apa juga aduan yang datang dan cuba membantu selagi terdaya, termasuk mereka yang datang mengadu masalah perceraian,” kata Zed memetik BH Online.
Pun begitu, Zed meminta ahlinya untuk faham bahawa persatuan berkenaan hanya sekadar menyediakan ruang untuk masing-masing membuat aduan dan membantu mana yang patut sahaja.
Dalam pada itu, Zed turut mendedahkan bahawa terdapat segelintir ahli yang tidak berpuas hati terhadap persatuan itu dengan mendakwa bahawa SENIMAN tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya.
Ujar Zed, ahli baru dan muda antara pihak yang sering menuding jari serta mencari kesalahan namun setiap kali perjumpaan diadakan, kelompok terbabit tidak pun kelihatan.
“Sedangkan, pelbagai usaha kita cuba lakukan untuk ahli, termasuk mencari rumah untuk mereka. Saya tahu, masih ada segelintir artis popular yang menyewa, tetapi mereka tidak datang pun berjumpa kita untuk meminta bantuan.
“Jadi, apabila kita membantu ahli veteran, mereka menuduh persatuan ini menumpukan pada sesetengah golongan saja. Malah, ada yang lantang bersuara di media sosial menghentam persatuan.
“Masalahnya, setiap kali program, aktiviti atau mesyuarat agung diadakan, ahli muda ini tak pernah hadir. Bahkan, ada yang tidak mengemas kini data peribadi masing-masing untuk simpanan kita,” ujarnya.
Untuk rekod, SENIMAN telah didaftar dengan rasminya pada tahun 1974 selaku sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai nasib para penggiat seni tanah air. – MYNEWSHUB.CC/AM