AKHIRNYA… Rang Undang-Undang (RUU) Persempadanan Semula bakal dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat, pada Rabu depan, demikian umum Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Beliau memaklumkan kertas berkaitan perkara itu sudah berada di meja ahli-ahli parlimen sebaik sahaja Yang Dipertua Dewan Rakyat tersebut mahu memulakan sesi pagi Dewan Rakyat, hari ini.
Rang Undang-Undang itu dijangka akan menimbulkan perbahasan hangat oleh ahli-ahli parlimen terutama daripada blok pembangkang yang menolak persempadanan semula itu.
Bagaimanapun, kerajaan hanya memerlukan majoriti mudah daripada 220 ahli parlimen sekiranya berlaku undian belah bahagian selepas perbahasan nanti berikutan dua wakil rakyat meninggal dunia baru-baru ini.
Sementara itu berlaku pertikaman lidah di antara Pandikar dan beberapa ahli Parlimen daripada pakatan pembangkang yang tidak berpuas hati apabila RUU tersebut tidak dibenarkan untuk pembacaan sekalipun.
Jelas Pandikar lagi, jika dokumen RUU tersebut boleh dibawa keluar wakil rakyat terbabit, maka ia akan disalahgunakan untuk perkara tidak sepatutnya ataupun dieksploitasikan oleh siaran media tertentu.
“Soal persempadanan ini sudah pun diketahui umum, jadi apa lagi yang perlu dibawa keluar dari dewan ini.
“Maka saya tidak akan benarkan ia dibawa keluar dari dewan ini. Saya sudah membuat ketetapan maka ia harus diikuti,” tegas Pandikar lagi.
Jelas beliau, perintah embargo bermaksud ia tidak boleh dibaca agar ia tidak disebarkan kepada masyarakat umum. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA