BANGI – Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meninjau perkembangan pembelajaran pelajar istimewa yang sedang mengikuti pengajian di Permata Pintar.
Pengarah Pusat Permata Pintar Negara Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata, tujuan utama lawatan itu adalah untuk melihat sendiri bagaimana pelajar Izz Imil Shahrom, 6, mengikuti pembelajaran yang disediakan.
“Datin Seri kagum dengan keupayaan kanak-kanak itu dan beliau amat prihatin dengan pelajar tersebut. Jadi beliau mahu melihat sendiri sama ada Izz boleh bergaul dan mengikuti pembelajaran dalam kelas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada lawatan itu Rosmah melihat sendiri bagaimana Izz menjalani pembelajaran termasuk bagaimana kanak-kanak itu menjawab soalan yang diberikan tenaga pengajar serta bergaul dengan rakan-rakan.
Izz yang menghidap autisme mempunyai kebolehan luar biasa dalam menyelesaikan masalah Matematik dan Kimia, menjadi pelajar termuda mengikuti pengajian di Kolej Permata Pintar sejak awal tahun ini.
Memandangkan usianya yang terlalu muda, Izz hanya akan mengikuti dua mata pelajaran kegemarannya iaitu Matematik dan Kimia.
Tambah Noriah, isteri perdana menteri merangkap penaung Permata turut memintanya untuk menyediakan satu program khas bagi membuka laluan kepada kanak-kanak itu mengikuti pembelajaran secara sendiri tanpa kehadiran ibu bapanya.
“Sekarang Izz datang dengan bapanya setiap Selasa dan Khamis dari jam 8 pagi hingga 4 petang untuk mengikuti pembelajaran Matematik dan Kimia,” katanya.
Menurutnya, selepas ini Permata Pintar mungkin dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada anak-anak istimewa untuk mendapatkan pendidikan lebih sempurna agar keistimewaan yang wujud pada mereka tidak dipersiakan. – BERNAMA