PETALING JAYA – Pusat pengoperasian Pangkalan Semenanjung Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dahulunya beroperasi di Sungai Besi telah dipindahkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 28 Feb lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pusat operasi baharu itu menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih kondusif kepada warga PGU.
Beliau berkata ia berupaya mengatasi masalah pengoperasian penerbangan yang dihadapi sebelum ini kerana ketiadaan bantuan alatan navigasi yang membataskan penerbangan 24 jam.
“Saya juga berharap kewujudan kompleks baharu ini bukan sahaja menjadi pusat operasi serta pejabat yang selesa untuk warga PGU menjalankan tugasan, bahkan menjadi inspirasi kepada warganya meningkatkan prestasi perkhidmatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pangkalan Semenanjung PGU PDRM di Subang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata PGU ketika ini memiliki 31 pesawat udara termasuk lima Pilatus Porter PC6 dan enam Cessna Caravan.
“Bagi memperkasakan lagi PGU sebagai ‘Airbone Law Enforcement Agency’, unit berkenaan bakal menerima empat helikopter jenis AW139 secara berperingkat mulai Mei ini sehingga tahun 2020.
PGU yang dahulunya dikenali sebagai Unit Udara PDRM telah ditubuhkan pada 1 Feb 1979 dan pada mulanya hanya memiliki empat kapal terbang jenis Cessna 206 yang ditempatkan sementara di Hangar Wira Kris, Subang.
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri merasmikan pangkalan berkenaan yang akan dijadikan sebagai pusat pembanteras aktiviti jenayah di sempadan negara yang lebih efektif. – BERNAMA