KUALA LUMPUR – Pemilik rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan mereka yang berdaftar kini boleh menikmati tawaran eksklusif dan diskaun bagi pelbagai produk dan perkhidmatan menerusi program PR1MA HAVEN.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias berkata setakat ini, 27 syarikat seperti Fella Design dan Index Living Mall menjadi rakan kongsi program PR1MA HAVEN dengan memberikan diskaun terhadap pelbagai barang dan perkhidmatan termasuk perkakasan rumah, perabot dan barangan elektrik.
“Untuk menikmati faedah HAVEN, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi mudah alih menerusi App Store atau Google Play dan daftar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Program itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersempena ekspo jualan rumah ‘Housing Sales Expo-Towards the One Million Dream’ di sini, hari ini.
Beliau berkata program itu merupakan satu lagi inisiatif untuk membantu mengurangkan beban berikutan peningkatan kos sara hidup dalam kalangan isi rumah berpendapatan sederhana, tatkala mereka mengimpikan taraf kehidupan lebih baik selaras dengan citarasa dan gaya hidup mereka.
Program itu juga menawarkan peluang baik kepada rakan kongsi PR1MA HAVEN termasuk perusahaan kecil dan sederhana untuk meningkatkan pendedahan jenama dan perolehan dalam kalangan pemilik rumah PR1MA dan individu yang berdaftar, katanya.
Abdul Mutalib berkata aplikasi PR1MA HAVEN menerima respons menggalakkan dengan mencatatkan 52,000 muat turun sejak ia diperkenalkan bulan lepas.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang PR1MA HAVEN digalakkan mengunjungi ruang pameran PR1MA pada Ekspo Jualan Rumah selama sembilan hari itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini sehingga 1 April. – BERNAMA
