IPOH – Kerajaan Negeri Perak bercadang untuk mengehadkan jumlah kedatangan pengunjung ke Royal Belum di Gerik pada satu-satu masa bagi memastikan kawasan itu terus terpelihara sekali gus menjadi destinasi pelancongan eksklusif di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata kedatangan pengunjung yang begitu ramai tanpa sebarang pemantauan boleh menjejaskan keindahan alam sekitar serta ekosistem yang wujud di kawasan itu
“Kita nak pelancong datang ke kawasan itu, tetapi dalam masa yang sama perlu ada kawalan bilangan sebenar yang datang kerana jika tiada kawalan, ia akan menimbulkan masalah yang serius terhadap alam sekitar di kawasan berkenaan.
Setakat ini tiada (laporan) yang serius tetapi kita tidak menafikan ada laporan berhubung pemburuan haram dan kita (kerajaan negeri) bertindak tegas dengan bekerjasama dengan pelbagai jabatan untuk menangkap mereka (pemburu haram),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengehadkan jumlah bot, sampan serta rumah bot yang boleh beroperasi di Royal Belum bagi memastikan kawasan itu dijaga dengan sebaiknya kerana ia merupakan khazanah yang sangat berharga di negara ini khususnya di Perak.
“Setakat ini Alhamdulillah tiada pencemaran sampah sarap yang berlaku tetapi kita perlu memastikan Royal Belum ini menjadi khazanah yang besar kerana ia telah berada dalam peta dunia hasil daripada kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” katanya.
Sehubungan itu, Zambry berkata beliau telah mengarahkan jabatan yang berkenaan antaranya Jabatan Perbadanan Taman Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak , Majlis Daerah Gerik dan Jabatan Hutan untuk menjaga keadaan Royal Belum.
“Sebagai contoh Pejabat Daerah akan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan pelesenan, penjagaan kawasan, jumlah kedatangan pelancong yang perlu ada dalam satu masa.
Jabatan Hutan bidang kuasa yang boleh dibuat seperti tidak membenarkan spesies tertentu terancam disebabkan kegiatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri Datuk Saarani Mohamad berkata pada 2017 dan bersempena Tahun Melawat Perak , Royal Belum telah dikunjungi 27,327 pelancong berbanding 23,375 pelancong pada 2016.
“Pelaksanaan inisiatif seperti pembinaan Hentian Royal Belum Amanjaya di Pulau Banding dekat Gerik, telah menarik ramai pengunjung ke Royal Belum,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian hentian itu yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, semalam.
Hentian Royal Belum Amanjaya yang siap pada 2016, sebelum ini dikenali sebagai Jeti Awam Pangkalan Aman, Pulau Banding kini dilengkapi dengan kedai serbaneka, medan selera, kedai cenderahati, ruang parkir yang mencukupi untuk kereta dan bas, serta sebuah helipad. – BERNAMA