HANGAT… Apple Inc. mengadakan ‘Promosi Jualan Gudang’ selama tiga hari bermula hari ini dengan menawarkan harga jauh lebih rendah daripada pasaran di MyTown, Cheras, Kuala Lumpur.
Perkara itu telah mengakibatkan orang ramai berpusu-pusu membanjiri acara jualan berkenaan sejak awal pagi lagi hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan pusat belah-belah di pinggir ibu kota tersebut.
Bagaimanapun kekecohan dilaporkan berlaku antara kalangan ribuan pengunjung apabila stok gajet ditawarkan premis itu pula adalah sangat terhad sehingga pihak polis terpaksa campur tangan bagi meredakan keadaan.
Difahamkan, kuantiti dijual hanyalah 170 unit sahaja tetapi jumlah pengunjung yang datang adalah berlipat ganda lebih 3,000 orang sehinggakan ada sanggup meminta pelepasan setengah hari bekerja semata-mata ke jualan itu.
Bukan itu sahaja, terdapat juga pengunjung yang sanggup menaiki Transit Aliran Massa (MRT) daripada rumahnya di Kajang, Selangor semata-mata untuk mendapatkan barangan dengan harga yang dianggap jauh lebih murah.
Apple sebelum itu mengumumkan promosi jualan gudang ini dengan menawarkan harga jauh lebih rendah daripada pasaran antaranya Iphone 5s dan Ipad Mini 2 dengan kedua-duanya hanya berharga RM200 setiap satu.
Fenomena itu turut dikongsi oleh ramai netizen yang mana masing-masing meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap apa yang berlaku sambil menyifatkan gimik promosi berkenaan sebagai tidak masuk akal.
Jualan bermula 10 pagi tadi namun terpaksa dibatalkan sehingga Ahad ini atas faktor keselamatan dan hebahan itu dibuat menerusi pengumuman jam 12 tengah hari oleh pihak polis bantuan yang mengawal kompleks tersebut.
Menurut pengumuman itu, orang ramai berpusu-pusu ke jualan gudang berkenaan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas ke semua arah menuju ke pusat beli-belah berkenaan sehingga pihak polis terpaksa membatalkannya.
Keadaan kecoh sebegini sebenarnya pasti dapat dielakkan lebih awal sekiranya pihak penganjur terbabit lebih bertanggungjawab memaklumkan perkara sebenar kepada pengunjung. – MYNEWSHUB.CC/AM