KUALA LUMPUR – Para pemain bola sepak harus mempunyai nilai integriti yang tinggi untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam gejala rasuah dan skandal pengaturan perlawanan.
Presiden MIC dan Penaung Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ia penting untuk mengelakkan penglibatan pihak ketiga dalam menentukan keputusan sesuatu perlawanan.
“Pemain dan pengurusan perlu memastikan perkara-perkara begitu tidak berlaku. Pemain memerlukan kadar integriti yang tinggi untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak dalam isu ini.
“Pihak pengurusan juga harus bersikap terbuka dan berani untuk melaporkan perkara-perkara ini kepada pihak berkuasa. Satu lagi isu yang menghantui bidang sukan ialah pengambilan dadah seperti steroid yang perlu dibendung,” kata Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, kepada pemberita di ibu pejabat MIC di sini, hari ini.
Beliau terdahulu menyaksikan seramai 52 pemain skuad Liga Premier dan Piala Presiden bersama-sama 19 staf MIFA mengangkat sumpah bebas rasuah dan dadah.
Sementara itu, Presiden MIFA, Senator Datuk T. Mohan berkata, pihaknya memandang serius gejala pengaturan perlawanan dan tidak akan teragak-agak untuk melaporkan mana-mana pihak yang terlibat dalam isu itu.
“Kita membuat majlis angkat sumpah ini untuk mengelakkan apa-apa kejadian mengatur perlawanan terjadi, seperti musim lepas di mana kami sendiri telah melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita lebih serius untuk musim ini dan telah melantik lima pegawai integriti yang sentiasa memantau tingkah laku pemain dan staf. Buat masa ini, kami belum mengesan apa-apa perbuatan yang mencurigakan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, S. Karunanithy ketika sesi penerangan selama sejam kepada para pemain dan staf MIFA, mencadangkan bahawa satu sistem pemberian sagu hati kepada pihak yang memberikan maklumat mengenai rasuah diwujudkan di peringkat kelab.
Menurut beliau, ia dapat membantu pihak pengurusan membendung gejala rasuah dan pengaturan perlawanan kerana lebih ramai individu akan tampil memberikan maklumat sekiranya gejala tersebut wujud di peringkat persatuan atau kelab. – BERNAMA