IMEJ tipikal jalan raya di seluruh Malaysia sering kali diperlihatkan dengan kemunculan model kereta baharu yang dimiliki rakyat sekali gus membuktikan kemampuan kewangan stabil.
Secara tidak langsung, pemilikan banyak kenderaan baharu sebenarnya akan meningkatkan kadar penghasilan kenderaan di semua jalan raya dan lebuh raya dari semasa ke semasa mengikut permintaan pelanggan.
Persoalannya, bagaimanakah pula nasib lebih lapan juta kenderaan lama yang terbiar dan sudah tidak berfungsi setelah dijual oleh pemiliknya untuk ditukar beli dengan pelbagai model baharu di pasaran semasa?

Kenderaan terbiar mampu bawa bahaya kepada orang awam kerana boleh menjurus kepada pembiakan nyamuk, mengganggu kawasan parkir awam dan memiliki bahan toksik yang mendatangkan pencemaran alam sekitar.
Berikutan itu, undang-undang berkaitan dengan pengurusan kenderaan terbiar, termasuk membolehkannya dirampas oleh pihak berkuasa untuk dilupuskan, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Lapor Berita Harian, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, kajian akan dilaksanakan bagi meneliti semula keperluan mewujudkan dasar berkaitan bagi menggubal undang-undang khas untuk menangani isu kenderaan terbiar.
“Isu kenderaan terbiar ini mendapat perhatian ramai. JPM maklumkan kepada saya bahawa kira-kira 6,000 aduan dari lapan kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor diterima daripada orang awam berhubung masalah ini.
“Hasil mesyuarat antara semua kementerian berkaitan hari ini, kami bersetuju menubuhkan kumpulan kerja yang akan bincang isu ini lebih dalam serta mencadangkan dasar dan kaedah pengurusan kenderaan terbiar kepada kerajaan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Kerjasama antara lima pihak iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Jabatan Perdana Menteri diperlukan bagi membincangkan isu kenderaan terbiar.
Tambahnya lagi, mengambil kira denda kepada pemilik kenderaan terbiar akan diambil kira dalam perbincangan undang-undang baharu yang bakal digubal.
Pada November tahun lalu, beliau memberitahu, kira-kira lapan juta kenderaan rosak dan terbiar dilaporkan berada di tepi jalan, kawasan tempat letak kenderaan serta lokasi lain. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

