REMBAU – Kerajaan negeri akan memastikan insiden terputus bekalan air seperti yang pernah dialami penduduk di negeri ini pada 2006, tidak akan berulang lagi, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata mengambil iktibar daripada kejadian itu, kerajaan negeri memastikan setiap Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini disambungkan melalui paip bawah tanah, sebagai sokongan sekiranya ada loji kehabisan bekalan air.
“Keperluan air di negeri ini menjadi keutamaan kita, kerana selepas ini akan berlaku pembangunan yang pesat di negeri ini dengan adanya Malaysia Vision Valley (MVV), oleh itu kita perlu bekalan air yang mencukupi.
“Saya telah meminta pihak berkaitan untuk membina sebuah LRA berkapisiti 500 juta liter sehari di Kuala Linggi, memandangkan ia di dalam kawasan pembangunan MVV, sekali gus dapat menyokong pembangunan pesat di sekitar kawasan itu,” katanya selepas Majlis Perasmian LRA Sawah Raja Fasa 2 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) Wan Rasdi Wan Ismail dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) Malaysia Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.
Mohamad berkata kerajaan negeri sudah menghantar permohonan ke peringkat persekutuan untuk diperhalusi cadangan membina LRA di Kuala Linggi.
Sementara itu, beliau berkata SAINS juga telah menghantar bantuan kepada penduduk Selangor yang terputus bekalan air sejak dua hari lepas.
“Kita telah menghantar tiga ke empat lori tangki berkapasiti 1,500 gelen air untuk membantu Selangor…kita turut dukacita dengan apa yang sedang dialami penduduk di Selangor dan bagi pihak kerajaan negeri, apa yang boleh dibantu kita akan bantu,” katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, Mohamad berkata pembinaan LRA Sawah Raja Fasa 2, yang dibina dengan kos RM34 juta, amat bertepatan bagi menampung keperluan air penduduk di Rembau kerana sebelum ini, sebahagian bekalan air penduduk di sana dibekalkan dari LRA Gemencheh. – BERNAMA