• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Saturday, December 6, 2025
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Myanmar Teruskan Penghapusan Etnik Rohingya

oleh Haris
07/03/2018
dalam Jenayah, Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

PEMERINTAH Myanmar masih meneruskan kempen penghapusan etnik terhadap warga Rohingya di negara itu walaupun pada masa yang sama mengatakan akan menerima semula Rohingya yang melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.

Seorang pegawai hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Andrew Gilmour yang bertemu dengan mangsa kekejaman tentera Myanmar.

Selepas enam bulan kempen keganasan menghapuskan warga Rohingya sehingga menyebabkan 700,000 lari ke Bangladesh, Myanmar memulakan kempen penghapusan baharu termasuk menyekat makanan daripada sampai kepada Rohingya.

Pertubuhan Doctors Without Borders menganggarkan sekurang-kurangnya 6,700 orang Rohingya terbunuh hanya dalam bulan pertama pembersihan etnik yang dijalankan oleh pemerintah Myanmar.

Beratus-ratus buah kampung dibakar dan imej-imej satelit menunjukkan sekurang-kurangnya 55 buah kampung telah habis diratakan untuk menghilangkan terus tanda-tanda bangunan, telaga dan tanaman.

Tentera Myanmar yang bekerjasama dengan pelampau Buddha melakukan kempen pembunuhan, rogol dan membakar kediaman warga Rohingya di negeri Rakhine.

Alasan yang diberi oleh kerajaan Myanmar untuk menafikan tindakan mereka membunuh orang awam ialah mereka hanya mensasarkan militan Rohingya.

Gilmour, pegawai PBB itu berkata penghapusan etnik Rohingya masih berlaku dan daripada apa yang beliau sendiri lihat dan dengar di Cox’s Bazar, Bangladesh, tidak ada kesimpulan lain yang boleh dibuat.

Katanya lagi, “Tidak seperti pembunuhan terbuka besar-besaran seperti beberapa bulan lalu, kali ini pihak berkuasa Myanmar melakukan keganasan dengan lebih senyap dan pada masa yang sama membiarkan penduduk Rohingya kebuluran.”

Walaupun pihak Myanmar telah memulakan rundingan dengan Bangladesh untuk membenarkan pelarian Rohingya kembali, tetapi tindakan Myanmar meningkatkan kehadiran tentera di sempadan dengan Bangladesh telah menimbulkan kebimbangan terhadap agenda dirancang pihak berkuasa Myanmar.

Hujung tahun lalu, Bangladesh dan Myanmar bersetuju untuk memindahkan semula 700,000 pelarian Rohingya ke Myanmar.

Bulan lalu, Menteri Dalam negeri Bangladesh Asaduzzaman Khan Kamal menyerahkan senarai nama 8,032 pelarian Rohingya kepada rakan sejawatnya Leftenan Jeneral Kyaw Swe selepas mesyuarat di Dhaka.

Tindakan itu ialah satu langkah untuk memulakan proses pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh.

Kata wakil PBB itu lagi, tidak dapat dibayangkan yang pelarian Rohingya akan dapat kembali ke Rakhine dalam masa terdekat tanpa berdepan tindakan balas pihak berkuasa Myanmar.

Tambahnya lagi, kerajaan Myanmar memberitahu dunia bahawa mereka bersedia menerima kembali Rohingya yang lari ke Bangladesh, tetapi pada masa sama terus memaksa mereka lari ke negara jiran itu.

Pelarian Rohingya yang menetap di Bangladesh berkata mereka tidak bersedia untuk pulang ke Myanmar kerana situasi masih membahayakan mereka di Rakhine.

“Pembunuhan Rohingya masih berlaku dan mereka masih melarikan diri dari Myanmar setiap hari. Tentera telah membunuh isteri dan anak saya. Tidak ada tindakan diambil ke atas mereka yang membunuh dan merogol begitu ramai orang Rohingya.

“Dalam keadaan pelaku-pelaku kekejaman itu masih berleluasa, kami tidak berasa selamat langsung di Rakhine,” kata Abdur Rahman, seorang pelarian Rohingya di kem Balukhali di Cox’s Bazar seperti dilapor media.

Ko Ko Linn, seorang pemimpin masyarakat Rohingya di Bangladesh berkata mereka tidak dapat pulang kerana kerajaan Myanmar nampaknya telah memutuskan untuk menempatkan mereka di penempatan baharu yang jauh dari kampung asal mereka.

Perkembangan terbaru ini menunjukkan kerajaan Myanmar tidak akan berganjak daripada dasar menghapuskan etnik Rohingya, tetapi sekadar menyedapkan hati masyarakat antarabangsa dengan janji-janji seperti membenarkan Rohingya pulang ke Myanmar. – Agensi/Mynewshub.cc/H

Tags: BangladeshIsu RohingyaMyanmar
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Pusat Hiburan Sasar Warga Myanmar Diserbu, GRO Dibayar Ikut Harga Kalung

Pusat Hiburan Sasar Warga Myanmar Diserbu, GRO Dibayar Ikut Harga Kalung

02/08/2025
0

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan yang menyasarkan pelanggan warga asing, khususnya warga Myanmar di Lebuh Pudu di sini, diserbu Jabatan...

Sedia Tarik Balik Pasukan ATM Jika Keselamatan Terancam Di Myanmar- Mohamad

Sedia Tarik Balik Pasukan ATM Jika Keselamatan Terancam Di Myanmar- Mohamad

18/04/2025
1

TAPAH: Malaysia bersedia menarik balik pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dihantar ke Myanmar sekiranya keselamatan mereka terancam. Menteri...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd