Saturday, April 27, 2024

Creating liberating content

Suami Isteri Maut, Janin...

PASIR MAS - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung sebuah...

Bauksit: Tengku Abdullah Mahu...

JERANTUT - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu kerajaan pusat...

Malaysia Tak Mohon Ekstradisi...

BANGKOK: Pihak berkuasa Malaysia tidak menuntut ekstradisi ke atas 'Raja Dadah' warga Malaysia...

Polis Kenal Pasti Suspek...

PUTRAJAYA - Polis telah mengenal pasti suspek dalam kes memecah masuk kediaman seorang...

Owen Ramal Jerman Mampu Pertahan Piala Dunia

GENTING HIGHLANDS – Legenda bola sepak England, Michael Owen meramalkan Jerman mampu mempertahankan kejuaraan Piala Dunia FIFA 2018 yang bakal berlangsung di Rusia dari 14 Jun hingga 15 Julai depan.

Bekas bintang kelab Liverpool FC dan Manchester United itu berkata walaupun sukar menjangkakan pasukan yang bakal muncul juara, skuad bimbingan Joachim Low itu dilihat cukup mantap untuk memenangi trofi itu buat kali kelima.

“Sukar untuk meramalkan kerana banyak pasukan yang kuat seperti Brazil, Argentina dan Perancis. Tetapi saya memilih Jerman, mereka sebuah pasukan yang kuat.

“Memiliki ramai pemain berbakat, muda dan juga berpengalaman, sudah tentu mereka menjadi pasukan pilihan,” katanya dalam satu temu bual menerusi video semasa pelancaran “Demam Bola Sepak Genting 2018” di sini hari ini.

Untuk rekod, Jeman memenangi kejuaraan berprestij itu sebanyak empat kali pada 1954, 1974, 1990 (ketika itu Jerman Barat) dan 2014, hanya satu kurang berbanding Brazil, yang memegang rekod kejuaraan paling banyak dengan lima gelaran. Itali juga memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali.

Bekas penyerang Real Madrid berusia 38 tahun itu, juga meramalkan Belgium mampu mencipta kejutan pada kejohanan berkenaan.

Ditanya mengenai peluang England, penjaring kelima terbanyak dalam sejarah bola sepak England itu, berkata skuad Three Lions sekali lagi dilihat mampu mara ke peringkat suku akhir dalam saingan kali ini.

“England bernasib baik kerana mendapat undian lebih baik pada kejohanan ini (dalam Kumpulan G bersama-sama Belgium, Panama dan Tunisia). Mereka mampu melepasi saingan peringkat kumpulan dan pusingan kedua tanpa perlu berdepan pasukan kuat untuk ke suku akhir,” katanya.


Sementara itu, Naib Presiden Promosi dan Hiburan Resorts World Genting Kevin Tann mengesahkan Owen bersama-sama dua bekas bintang England Paul Scholes dan Robbie Fowler dijangka menghiburkan peminat Malaysia semasa kempen “Demam Bola Sepak Genting” sempena Piala Dunia itu.

“Fowler pernah datang ke Malaysia sebelum ini, namun ia kali pertama buat Scholes. Kempen selama dua bulan ini, bermula sebulan sebelum berlangsung Piala Dunia, dijangka memberi ‘kehangatan’ kepada peminat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas majls pelancaran kempen berkenaan.

Owen dijadual berinteraksi dengan tetamu di Resorts World Genting dari 14 hingga 16 Jun untuk majlis perasmian, manakala Scholes dan Fowler akan berada di resort berkenaan dari 13 hingga 15 Julai.

Selain bertemu dengan legenda bola sepak berkenaan, ahli Genting Rewards Card (GRC) juga berpeluang memenangi 10 pakej pelancongan ke Rusia, antaranya tiket penerbangan ke Moscow, penginapan empat malam di hotel serta tiket menyaksikan majlis perasmian Piala Dunia dan sebuah kereta baharu Toyota C-HR.

“Semasa kempen Piala Dunia yang lepas, kita berjaya mendaftarkan kira-kira 30,000 ahli baharu, dan kali ini kita berharap lebih ramai akan berbuat demikian,” katanya. – BERNAMA

Kategori