KUALA KANGSAR – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Perak berhampiran Masjid Bekor, Senggang pada malam tadi ditemukan lemas hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Muhd Taufiq Abd Sattar berkata mayat Muhamad Aiman Asyraf Abdul Rashid, 22, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat terapung sejauh lima kilometer dari tempat kejadian pada pukul 10.53 pagi tadi.
Katanya dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa bersama tiga rakannya sedang memancing di sungai berkenaan sebelum mangsa dikatakan telah turun ke dalam sungai untuk mandi.
Menurutnya tidak lama kemudian, mangsa tiba-tiba dilihat terkapai-kapai di dalam air itu dan cuba dibantu oleh rakan-rakannya namun usaha mereka itu tidak berjaya. “Rakan-rakan mangsa terus memaklumkan kejadian itu kepada keluarga dan penduduk kampung untuk mencarinya namun usaha mereka itu gagal.
“Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 11.59 malam, hari yang sama dan operasi mencari mangsa segera dijalankan melibatkan kawasan pencarian seluas tiga kilometer,” katanya.
Menurut Mohd Taufiq, mayat mangsa dibawa naik ke tebing sungai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA