KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan mendakwa mendapat kerjasama makmal antarabangsa bagi menganalisis rakaman audio yang didakwa milik suara Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Pemimpin Pakatan Harapan daripada Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu atau Mat Sabu mendakwa analisis antarabangsa itu akan membuktikan audio itu suara Nik Mohamad Abduh yang menyebut PAS menerima wang daripada UMNO.
“Nik Mohamad Abduh buat pengakuan terima wang UMNO untuk menghalau jebon (Mat Sabu dan rakan-rakannya) daripada PAS.
“Jangan tak mengaku. Ucapan kamu itu sedang dianalisa di makmal antarabangsa. Kalau tidak mengaku kamu akan jawab di mahkamah antarabangsa,” dakwanya dalam satu ceramah Pakatan Harapan baru-baru ini.
Mat Sabu mendakwa kononnya beliau dan Pakatan Harapan memperoleh audio melibatkan perbualan Nik Mohamad Abduh itu kerana barisan pimpinan PAS sedang berkelahi.
Bagaimanapun, Nik Mohamed Abduh menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut sambil menyifatkan ia satu fitnah terhadapnya.
Audio yang disebarkan Pakatan Harapan itu mengulangi kontroversi rakaman audio perbualan seks melibatkan Mat Sabu dengan isteri orang yang tersebar pada tahun 1994.
Perbualan seks itu tersebar sewaktu penentangan kuat PAS ke atas kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ketika itu Mat Sabu adalah pemimpin PAS.
Mat Sabu dilahirkan di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 14 Oktober 1954.
Dengan kelulusan Pangkat 3, SPM, Mat Sabu telah melanjutkan pelajarannya ke Institut Teknologi MARA atau ITM dalam jurusan Teknologi Pemakanan.
Pada tahun 1975, Mat Sabu tersingkir dari ITM. – MYNEWSHUB.CC