KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis cedera selepas bergelut dengan seorang lelaki tempatan yang memasuki Balai Polis Sungai Long, Kajang dekat sini yang dipercayai cuba merampas senjata api anggota sentri di balai itu awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata dalam kejadian pukul 2.40 pagi itu, lelaki berumur 23 tahun terbabit memasuki balai polis dan secara tiba-tiba cuba merampas senjata api jenis HK MP5 daripada anggota sentri yang sedang bertugas.
“Berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota tersebut namun suspek berjaya ditangkap dengan bantuan beberapa anggota Pejabat Pertanyaan Balai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mazlan berkata seorang daripada anggota yang membantu menangkap suspek mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kanan akibat pergelutan itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai suspek berada di bawah pengaruh dadah.
“Suspek mengaku terlibat dengan dadah dan semakan rekod jenayah mendapati suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan kes tipu,” katanya.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di Balai Polis dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam. – BERNAMA