KUANTAN – Seorang kakitangan kerajaan negeri kerugian RM13,000 selepas terperdaya dengan panggilan palsu yang diterima, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt. Wazir Mohd Yusof berkata mangsa, 48, sebelum itu menerima panggilan telefon yang memperkenalkan diri sebagai Siti Hajar binti Muhamad berjawatan Penolong Pengarah Bahagian GST.
Katanya suspek mendakwa mangsa tidak membayar GST sebanyak RM16,072.38 untuk 103 unit telefon bimbit jenis Samsung yang telah dirampas oleh pihak kastam Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 27 April tahun lalu.
“Pengadu pada awalnya menafikannya, namun suspek mendakwa kononnya data peribadi pengadu mungkin telah disalah guna dan meminta mangsa membuat laporan polis.
“Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan ke IPK Kedah dan pengadu bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai sarjan sebelum mendakwa mangsa telah bersubahat dengan penjenayah bernama ‘Roslan’ atas kesalahan mengedar syabu dan penyeludupan dadah,” katanya kepada media di sini hari ini.
Selepas itu, sarjan berkenaan meminta pengadu bercakap dengan tiga lagi pegawai atasannya sebelum mengarahkannya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bagi menjadi penjaminnya di mahkamah.
Wazir berkata susulan itu, mangsa telah pergi ke sebuah bank di Pekan dan memasukkan RM13,000 ke dalam akaun yang diberi suspek.
Katanya mangsa kemudian cuba menghubungi semula suspek, namun gagal sebelum menyedari telah diperdaya dan membuat laporan polis, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

